Semalam saya menulis tentang kenapa saya berhenti kerja, hari ni saya nak kongsi macamana saya boleh start bisnes pula.
Saya mula belajar dan menjalankan bisnes online dari akhir tahun 2006, bila saya bersatu bersama dengan suami saya di Miri, Sarawak. Sebelum itu kami tinggal berjauhan dipisahkan Laut China Selatan.
Sejak di awal perkahwinan, kami berdua telah merancang untuk kewangan keluarga sehingga ke 30 tahun akan datang. Mengambilkira keperluan asas, pendidikan anak-anak, dana persaraan, dan lain-lain, serta penyusutan nilai duit kita (inflasi).. Kami dapati, gaji sahaja cukup-cukup, atau mungkin tak cukup untuk mencapai kehidupan yang lebih selesa dan bebas membuat pilihan.
Walaupun kami ada passive income masa tu, tapi saya nak juga ada active income, selain gaji. Datanglah keputusan untuk buat bisnes online.
Mula-mula sekali target saya berbisnes, tak besar pun. Sekadar mencari duit lebih untuk beli pampers anak. Tapi bila kenal dengan usahawan internet yang nampak macam orang biasa tapi sebenarnya poket kembung, baru saya sedar bahawa saya mesti membuka fikiran saya dengan lebih besar.
Saya seorang introvert dan pendiam. Kadang-kadang saya pun tak faham macamana kawan-kawan boleh bertahan dengan saya, dalam grup kawan-kawan biasanya saya lah yang paling senyap. Kalau ada 3 orang, saya lah yang tersisih dari perbualan. Saya tak pandai memulakan perbualan, saya tak pandai buat kawan. Pendekata, memang langsung tak ada ciri-ciri seorang usahawan.
Tapi sebenarnya, ada hikmah di sebaliknya. Sorang introvert cenderung untuk banyak berfikir dan bermonolog dengan diri sendiri. Bila banyak fikir, banyak perkara yang ingin ditanya, banyak perkara yang dapat jawapannya. Seorang introvert sebenarnya mempunyai bakat sebagai seorang penulis dan penceramah, dari idea-idea yang tercetus dek proses brainstorming yang berterusan tu.
Saya belajar tentang memulakan dan membangunkan bisnes online. Ya, nak buat apa-apa kena belajar. Belajar mesti dengan guru dan disokong dengan buku-buku. Masa tu internet marketing di Malaysia belum famous. Belum ada lagi kelas-kelas dan seminar untuk melahirkan internet marketer (kalau ada mungkin tak banyak macam sekarang).
Saya laburkan berpuluh ribu untuk belajar tentang perniagaan ni. Syukurlah ada simpanan yang memang saya reserve dan tak usik tabungan lain.
Antara yang saya buat adalah menulis blog. Macam-macam blog saya tulis. My Super Kids ni pada mulanya blog tempat saya bercerita tentang pengalaman saya menjadi seorang ibu. Blog ini jugalah yang menyampaikan saya kepada kawan-kawan baru yang dikenali secara maya.
Untung bisnes dan gaji jurutera saya, sebahagian besar saya simpan. Simpan untuk bekalan dunia, dan bekalan akhirat juga. Minima saja saya guna untuk shopping. In fact, jarang pun shopping. Pakaian pun jarang berganti. Kasut ada sepasang saja. Sampai sekarang pun. Bagi saya semua itu bukan modal untuk bermewah-mewah, tapi satu peluang untuk kita membuat pilihan dalam hidup.
Kenapa saya kata pilihan?
Bayangkan seorang yang gaji cukup-cukup makan dan seorang yang kaya-raya. Kedua-duanya memandu kereta MyVi. Yang cukup makan mungkin memandu kereta tersebut kerana itu saja yang dia mampu, walaupun kereta kegemarannya adalah Ferrari. Sebaliknya, yang kaya-raya memandu MyVi kerana itu lah yang dia mahu. Buat apa nak beli Ferrari walaupun berduit, bukan boleh speeding dalam trafik jem pun.
Saya mahu ada pilihan macam tu.
Saya nak miliki sesuatu bukan kerana “Ini je yang aku mampu” tapi “Ini yang aku mahu”.
Saya takut kalau menjadi hamba duit. Bagaimana jadi hamba duit? Bila setiap keputusan hidup kita, kita tengok duit, tanya duit dulu. Benda yang perlu pun tak boleh sediakan kerana tak cukup duit. Benda tak perlu pun beli juga bila ada duit.
Saya nak jadi tuan kepada duit. Saya nak beli barang sebab saya perlu dan mahu, bukan sebab saya ada duit maka saya boleh sapu semua. Saya juga nak buat keputusan untuk tak belanjakan duit sebab saya tak perlu dan tak mahu, bukan sebab saya tak ada duit.
Bila kita ada duit, kita bebas nak buat apa dengan duit kita. Dan tak perlu impress sesiapa atau tunjuk kat orang yang kita ada duit. Yang penting, kita tak teragak-agak untuk invest dalam sesuatu perkara yang sangat penting dalam hidup kita – ilmu.
Lagi satu, saya taknak ada rasa ‘dengki’ atau buruk sangka dengan orang yang memiliki benda yang saya tak ada (tapi teringin).
Guru saya ada beritahu bahawa “Lack of money is the root of all evils”. Ujian harta benda ni memang parah dan payah. Harta banyak, ujian syukur. Harta takde, ujian sabar. Kedua-duanya berat. Lantas, ia memerlukan hubungan yang utuh dengan Yang Maha Pencipta, agar hati kita sentiasa terbimbing.
Yang paling penting, kita mesti enjoy apa yang kita buat. Mesti ada prinsip, KENAPA kita nak sangat buat benda ni, apa lagi kalau benda tu orang lain tak buat.
Saya mengakui saya tak berapa enjoy sangat bekerja. Mungkin sebab saya kurang dari segi skill komunikasi.
Apa pun, syukur alhamdulillah, di sebalik pelbagai rintangan dan cabaran yang saya lalui, akhirnya saya berjaya buat satu keputusan besar dalam hidup saya – berhenti kerja, dan bergembira!
Saya akhiri dengan clip ringkas ni khas untuk pembaca MSK semua.
Just Do It! Tapi, Kenapa? from iReach HD on Vimeo.
Leave a Reply