Hukum Penyusuan dan Bank Susu Ibu

By | October 21, 2012

Berkongsi artikel dari Minda Madani:

Bolehkan ustaz terangkan apakah hukum penyusuan dan penggunaan Bank Susu ?

————————————————————————————————————-

Mengenai penyusuan dari yang bukan ibu kandung, saya berpendapat bahawa apabila seseorang itu mempunyai anak, maka si bapa harus berhati-hati siapa yang menyusukan anaknya dari golongan yang bukan dari ibu kandungnya atau isterinya dalam tempoh menyusu iaitu dalam tempoh dua tahun.

Para ulamak menyebutkan anak susuan itu dengan apa yang diharamkan dengan nasab dari segi perkahwinan sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan atau menyusu sehari semalam dalam tempoh penyusuan dua tahun. Terdapat khilaf antara saidina Umar dan saidina Ali tentang masalah ini. Telah datang seorang isteri yang melahirkan anak setelah enam bulan mengandung sedangkan kebiasaan mengandung ialah 9 bulan. Maka saidina Umar al-Khattab ingin menjatuhkan hukuman ke atas wanita tersebut tetapi saidina Ali ingin menyelesaikan masalah ini dengan merujuk kepada firman Allah:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu”
al-baqarah 233

Iaitu tempoh penyusuan adalah selama dua tahun atau 24 bulan. Kemudian saidina Ali menyebutkan firman Allah:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dan telah melahirkannya dengan bersusah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” al-Ahqaf, ayat 15

Ayat ini menyebutkan penyusuan selama 30 bulan. Maka tempoh penyusuan yang sebenar adalah 24 bulan. Maka baki bulan mengandung ialah enam bulan.Oleh sebab itu, mungkin bagi tempoh seorang wanita mengandung adalah enam bulan. Oleh yang demikian, wanita tersebut terlepas dari hukuman tersebut.

Berbalik kepada masalah penyusuan bahawa nabi pernah menyebutkan bahawa apa yang diharamkan dari nasab diharamkan pula kerana penyusuan. Sebagai jalan penyelesaian, adalah disarankan agar ditulis nama ibu yan menyusukannya agar tidak mendatangkan masalah pada hari kemudian di sijil kelahiran atau lain-lain surat yang dapat membuktikannya.

Apa yang diharamkan kerana nasab diharamkan pula kerana penyusuan. Allah berfirman:

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita berikut): ibu-ibumu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, saudara-saudara bapamu, dan saudara-saudara ibumu, anak-anak saudaramu yang lelaki, anak-anak saudaramu yang perempuan, ibu-ibumu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara susuanmu, ibu-ibu isterimu, anak-anak tiri yang dalam pemeliharaanmu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu mengahwininya. Dan bekas isteri anak-anakmu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini), kecuali yang berlaku di masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Al-Nisa`: 23

Dalam ajaran Islam, bayi yang belum mencapai usia dua tahun iaitu tempoh penyusuan jika menyusu kepada seseorang wanita, maka wanita itu menjadi ibu susunya. anak-anak ibu susuan baik dari suami yang sekarang atau suami yang terdahulu maupun yang akan datang, semua menjadi saudara-saudara susu bagi yang menyusu itu. Suami ibu susuan menjadi ayah susuan dan anak-anak dari ayah susuan walaupun dari ibu yang lain juga menjadi saudara susu. Saudara dari ayah susuan menjadi bapa saudaranya.

Masalah hanya sekali menyusu atau harus lima kali baru dianggap sah sebagai penyusuan adalah masalah khilafiah. Bagi Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat cukup hanya sekali menyusu sedangkan mazhab Syafi`i dan Hambali mengharuskan lima kali menyusu. Pendapat yang pertama berdasarkan pada pemahaman ayat secara umum sedangkan pendapat yang kedua berdasarkan pada hadis sahih yang kedua-dua diriwayatkan oleh para sahabat.

Penyusuan yang dianggap sah ialah sampai bayi itu sendiri melepaskan mulutnya dari puting ibu susu dengan kemahuan sendiri lama atau sebentar. Saudara-saudara dari anak yang menyusu tidak terpengaruh apa-apa.Mereka boleh kahwin dengan anak-anak dari ibu penyusu. Jadi yang terkena hukum penyusuan hanya yang menyusu saja.

Yang mengatakan meskipun disusui satu titis dan hanya sekali sudah terkena hukum penyusuan, tidak membezakan pula antara penyusuan pada puting si ibu atau melalui suapan atau dengan perantaraan botol dan adakah melalui mulut atau melalui hidung (سعوط) bagi bayi yang sakit. Pokoknya asal diyakini bahawa air susu masuk ke perutnya, maka dia termasuk sebagai anak susuan. Ini berbeza dengan Ibn Hazm yang saya akan terangkan kemudian pandangannya. Penyusuan hanya bagi bayi di bawah usia dua tahun. Bila lebih maka terlepaslah dari hukum penyusuan. Hukum ini sama bagi wanita yang janda dan yang bersuami. Adapun pemindahan atau derma darah bagi bayi tidak dapat disamakan dengan penyusuan.

Pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi

Menurut al-Qaradawi, tidak diragukan lagi bahawa tujuan diadakannya bank air susu ibu adalah tujuan yang baik dan mulia, yang didukung oleh Islam, untuk memberikan pertolongan kepada semua yang lemah, apa pun sebab kelemahannya. Lebih-lebih bila yang bersangkutan adalah bayi yang baru dilahirkan yang tidak mempunyai daya dan kekuatan.

Tidak disangsikan lagi bahawa perempuan yang menyumbangkan sebagian air susunya untuk makanan golongan anak-anak lemah ini akan mendapatkan pahala dari Allah, dan terpuji di sisi manusia. Bahkan air susunya itu boleh dibeli darinya, jika ia tidak berkenan menyumbangkannya, sebagaimana ia diperbolehkan mencari upah dengan menyusui anak orang lain.

Juga tidak diragukan bahawa yayasan yang bergerak dalam bidang pengumpulan ‘air susu’ itu yang mensterilkan serta memeliharanya agar dapat dinikmati oleh bayi-bayi atau anak-anak patut mendapatkan ucapan terima kasih dan mudah-mudahan memperoleh pahala.

Namun perkara yang dikhuatirkan di sebalik kegiatan yang mulia ini ialah bahawa anak yang disusui (dengan air susu ibu) itu kelak akan menjadi besar dengan izin Allah, dan akan menjadi seorang remaja di tengah-tengah masyarakat, yang suatu ketika hendak menikah dengan salah seorang dari puteri-puteri bank susu itu. Ini yang dikhuatirkan, bahawa wanita tersebut adalah saudaranya sesusuan. Sementara itu dia tidak mengetahuinya karena memang tidak pernah tahu siapa saja yang menyusu bersamanya dari air susu yang ditampung itu. Lebih dari itu, dia tidak tahu siapa saja perempuan yang turut serta menyumbangkan susunya kepada bank susu tersebut, yang sudah tentu menjadi ibu susuannya. Maka haram bagi ibu itu menikah dengannya dan haram pula ia menikah dengan puteri-puteri ibu tersebut, baik puteri itu sebagai anak kandung (nasab) maupun anak susuan. Demikian pula diharamkan bagi pemuda itu menikah dengan saudara-saudara perempuan ibu tersebut, kerana mereka sebagai ibu saudaranya. Diharamkan pula baginya menikah dengan puteri dari suami ibu susuannya itu dalam perkahwinannya dengan wanita lain — menurut pendapat jumhur fuqaha — kerana mereka adalah saudara-saudaranya dari jurusan ayah … serta masih banyak masalah dan hukum lain berkenaan dengan susuan ini.

Oleh karena itu, al-Qaradawi membagi masalah ini menjadi beberapa kategori, sehingga hukumnya menjadi jelas. Pertama, menjelaskan pengertian radha’ (penyusuan) yang menjadi acuan syara’ untuk menetapkan pengharaman. Kedua, menjelaskan kadar susuan yang menjadikan haramnya perkahwinan. Ketiga, menjelaskan hukum meragukan susuan.

Pengertian Radha’ (Penyusuan)

Makna radha’ (penyusuan) yang menjadi acuan syara’ dalam menetapkan pengharaman (perkahwinan), menurut jumhur fuqaha – termasuk tiga orang imam mazhab, yaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Syafi’i – ialah segala sesuatu yang sampai ke perut bayi melalui kerongkong atau lainnya, dengan cara menghisap atau lainnya, seperti dengan al-wajur (الوجور) (yaitu menuangkan air susu melalui mulut ke kerongkong), bahkan mereka samakan pula dengan jalan as-sa’uth (السعوط) yaitu menuangkan air susu ke hidung (lantas ke kerongkong), dan ada pula yang berlebihan dengan menyamakannya dengan suntikan melalui dubur

Tetapi semua itu ditentang oleh Imam al-Laits bin Sa’ad, yang hidup sezaman dengan Imam Malik dan sebanding (ilmunya) dengan beliau. Begitu pula golongan Zahiriyah dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad.

Al-Allamah Ibn Qudamah menyebutkan dua riwayat dari Imam Ahmad mengenai wajur dan sa’uth.

Riwayat pertama, lebih dikenal sebagai riwayat dari Imam Ahmad dan sesuai dengan pendapat jumhur ulama: bahwa pengharaman itu terjadi melalui keduanya (iaitu dengan memasukkan susu ke dalam perut baik melalui mulut maupun melalui hidung). Adapun yang melalui mulut (wajur), karena hal ini menumbuhkan daging dan membentuk tulang, maka sama saja dengan menyusu. Sedangkan melalui hidung (sa’uth), karena merupakan jalan yang dapat membatalkan puasa, maka ia juga menjadi jalan terjadinya pengharaman (perkahwinan) karena susuan, sebagaimana halnya melalui mulut. Riwayat kedua, menolak bahawa kaedah berkenaan tidak menyebabkan berlakunya pengharaman perkahwinan dengan alasan ia bukan salah satu bentuk penyusuan. (iaitu melalui hidung)

Disebutkan di dalam al-Mughni “Ini adalah pendapat yang dipilih Abu Bakar, mazhab Daud, dan perkataan Atha’ al-Khurasani mengenai sa’uth, karena yang demikian ini bukan penyusuan, sedangkan Allah dan Rasul-Nya hanya mengharamkan (perkahwinan) secara penyusuan. Memasukkan susu melalui hidung bukan penyusuan (menghisap puting susu), maka ia sama saja dengan memasukkan susu melalui luka pada tubuh.”

Sementara itu, pengarang al-Mughni sendiri menguatkan riwayat yang pertama berdasarkan hadith Ibn Mas’ud yang diriwayatkan oleh Abu Daud: “Tidak ada penyusuan kecuali yang membesarkan tulang dan menumbuhkan daging”

Hadith yang dijadikan hujah oleh pengarang kitab al-Mughni ini sebenarnya tidak dapat dijadikan hujah untuknya, bahkan kalau direnungkan ia menjadi hujah untuk menyanggah pendapatnya. Sebab hadith ini membicarakan penyusuan yang mengharamkan perkahwinan, iaitu yang mempunyai pengaruh (bekas) dalam pembentukan anak dengan membesarkan tulang dan menumbuhkan dagingnya. Hal ini menafikan penyusuan yang sedikit, yang tidak mempengaruhi pembentukan anak, seperti sekali atau dua kali hisapan, karena yang demikian itu tidak mungkin mengembangkan tulang dan menumbuhkan daging. Maka hadith itu hanya menetapkan pengharaman (perkahwinan) kerana penyusuan yang mengembangkan tulang dan menumbuhkan daging. Oleh karena itu, pertama-tama harus ada penyusuan sebelum segala sesuatunya (iaitu penyusuan itu merupakan faktor yang utama dan dominan)

Selanjutnya pengarang al-Mughni berkata, “Karena dengan cara ini air susu dapat sampai ke tempat yang sama –jika dilakukan melalui penyusuan– serta dapat mengembangkan tulang dan menumbuhkan daging sebagaimana melalui penyusuan, maka hal itu wajib disamakan dengan penyusuan dalam mengharamkan (perkahwinan). Kerana hal itu juga merupakan jalan yang membatalkan puasa bagi orang yang berpuasa, maka ia juga merupakan jalan untuk mengharamkan perkahwinan sebagaimana halnya penyusuan dengan mulut.”

Dalam hal ini, al-Qaradawi berpendapat, jika itu dijadikan ‘illat atau sebab yang boleh mengharamkan perkahwinan karena ia boleh membentuk tulang dan menumbuhkan daging dengan cara apa pun, maka apa kurangnya memasukkan darah seorang wanita kepada seorang anak yang membolehkan wanita tersebut atau anak tersebut haram berkahwin dengannya. Malah proses memasukkan darah melalui pembuluh darah ini lebih cepat dan lebih kuat pengaruhnya daripada proses penyusuan. Tetapi hukum-hukum agama tidaklah dapat dipastikan dengan dugaan-dugaan, karena persangkaan adalah sedusta-dusta perkataan, dan persangkaan tidak berguna sedikit pun untuk mencapai kebenaran.

Justeru itu al-Qaradawi berpendapat bahawa asy-Syari’ (pembuat syariat) menjadikan asas pengharamnya itu pada “keibuan yang menyusukan” sebagaimana firman Allah ketika menerangkan wanita-wanita yang diharamkan mengahwininya: “… dan ibu-ibumu yang menyusui kamu dan saudara perempuanmu sepersusuan …” (an-Nisa’: 23)

Adapun “keibuan” yang ditegaskan Al-Qur’an itu tidak terhasil semata-mata karena diambilkan air susunya, tetapi karena menghisap teteknya dan selalu lekat padanya sehingga melahirkan kasih sayang si ibu dan ketergantungan si anak. Dari keibuan ini maka muncullah persaudaraan sepersusuan. Jadi, keibuan ini merupakan asal (pokok), sedangkan yang lain itu mengikutinya.

Dengan demikian, kita wajib berhenti pada lafaz-lafaz yang dipergunakan Syari’ di sini. Sedangkan lafaz-lafaz yang dipergunakanNya itu seluruhnya membicarakan irdha’ dan radha’ah (penyusuan), dan makna lafaz ini menurut bahasa Al-Qur’an dan As-Sunnah sangat jelas dan terang, iaitu memasukkan tetek ke mulut dan menghisapnya, bukan sekadar memberi minum susu dengan cara apa pun.

Oleh itu , al-Qaradawi bersetuju dengan pandangan Ibnu Hazm mengenai hal ini. Beliau berhenti pada petunjuk nash dan tidak melampaui batas-batasnya, sehingga mengenai sasaran, dan menurut al-Qaradawi bahawa pendapat Ibn Hazm ini sesuai dengan kebenaran.

Pandangan Ibn Hazm

Di sini dijelaskan pandangan Ibn Hazm yang menyebutkan :

“Adapun sifat penyusuan yang mengharamkan (perkahwinan) hanyalah yang menyusu dengan cara menghisap tetek wanita yang menyusui dengan mulutnya. Sedangkan orang yang diberi minum susu seorang wanita dengan menggunakan bejana atau dituangkan ke dalam mulutnya lantas ditelannya, dimakan bersama roti atau dicampur dengan makanan lain, dituangkan ke dalam mulut, hidung, atau telinganya, atau dengan suntikan, maka yang demikian itu sama sekali tidak mengharamkan (perkahwinan), meskipun sudah menjadi makanannya sepanjang masa. Alasannya adalah firman Allah Azza wa Jalla: ‘Dan ibu-ibumu yang menyusui kamu dan saudara perempuanmu sepersusuan …’ (an-Nisa’:23)

Dan sabda Rasulullah saw.:

“Haram kerana susuan apa yang haram kerana nasab.”

Maka dalam hal ini Allah dan Rasul-Nya tidak mengharamkan nikah kecuali kerana irdha’ (menyusui), kecuali jika wanita itu meletakkan susunya ke dalam mulut yang menyusu. Dikatakan (dalam qias istilahi): ardha’athu-turdhi’uhu-irdha’an, yang bererti menyusui. Tidaklah dinamakan radha’ah dan radha’/ridha (menyusu) kecuali jika anak yang menyusu itu mengambil tetek wanita yang menyusuinya dengan mulutnya, lalu menghisapnya. Dikatakan (dalam qias istilahi, dalam ilmu sharaf):
radha’a -yardha’u/yardhi’u radha’an/ridha’an wa radha’atan/ridha’atan.

Adapun selain cara seperti itu, sebagaimana yang saya sebutkan di atas, maka sama sekali tidak dinamakan irdha’, radha’ah, dan radha’, melainkan hanya air susu, makanan, minuman, minum, makan, menelan, suntikan, menuangkan ke hidung, dan meneteskan, sedangkan Allah Azza wa Jalla tidak mengharamkan perkahwinan sama sekali yang disebabkan hal-hal seperti ini.

Abu Muhammad berkata, orang-orang berbeza pendapat mengenai hal ini. Abul Laits bin Sa’ad berkata, “Memasukkan air susu perempuan melalui hidung tidak menjadikan haramnya perkahwinan (antara perempuan tersebut dengan yang dimasuki air susunya tadi), dan tidak mengharamkan perkawinan pula jika si anak diberi minum air susu si perempuan yang dicampur dengan ubat, kerana yang demikian itu bukan penyusuan, sebab penyusuan itu ialah yang dihisap melalui tetek. Demikianlah pendapat al-Laits, dan ini pula pendapat kami dan pendapat Abu Sulaiman iaitu Daud, imam Ahli Zahir– dan sahabat-sahabat kami, iaitu Ahli Zahir.”‘

Sedangkan pada waktu menyanggah orang-orang yang berdalil dengan hadith: “Sesungguhnya penyusuan itu hanyalah kerana lapar,” Ibnu Hazm berkata:

“Sesungguhnya hadith ini adalah hujah bagi kami, kerana Nabi saw. hanya mengharamkan perkahwinan disebabkan penyusuan yang berfungsi untuk menghilangkan kelaparan, dan beliau tidak mengharamkan (perkahwinan) dengan selain ini. Kerana itu tidak ada pengharaman (perkahwinan) kerana cara-cara lain untuk menghilangkan kelaparan, seperti dengan makan, minum, menuangkan susu melalui mulut, dan sebagainya, melainkan dengan jalan penyusuan (menetek, iaitu menghisap air susu dari tetek dengan mulut dan menelannya), sebagaimana yang difirmankan oleh Allah:

“… Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 229) (Al-Muhalla. karya Ibnu Hazm, juz 10, him. 9-11.)

Dengan demikian, al-Qaradawi melihat bahwa pendapat yang menenteramkan hati ialah pendapat yang sejalan dengan zahir nash yang menyandarkan semua hukum kepada irdha’ (menyusui) dan radha’/ridha’ (menyusu). Hal ini sejalan dengan hikmah pengharaman kerana penyusuan itu, iaitu adanya rasa keibuan yang menyerupai rasa keibuan kerana nasab, yang menumbuhkan rasa kekanakan (sebagai anak), persaudaraan (sesusuan), dan kekerabatan-kekerabatan lainnya. Maka sudah dimaklumi bahwa tidak ada proses penyusuan melalui bank susu, yang melalui bank susu itu hanyalah melalui cara al-wujur (menuangkan ke mulut –bukan menghisap dari tetek– dan menelannya), sebagaimana yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Seandainya kita terima pendapat jumhur yang tidak mensyaratkan penyusuan dan pengisapan, nescaya terdapat alasan lain yang mnghalangi pengharaman (perkahwinan). iaitu, kita tidak mengetahui siapakah wanita yang disusu (air susunya diminum) oleh anak itu? Berapa kadar air susunya yang diminum oleh anak tersebut? Apakah sebanyak yang dapat mengenyangkan –lima kali susuan menurut pendapat terpilih yang ditunjuki oleh hadith dan dikuatkan oleh penalaran– dapat menumbuhkan daging, dan mengembangkan tulang, sebagaimana pendapat mazhab Syafi’i dan Hambali?

Apakah air susu yang sudah dicampur dengan bermacam-macam air susu lainnya terhukum sama dengan air susu murni? Menurut mazhab Hanafi, sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Yusuf, bahwa air susu seorang perempuan apabila bercampur dengan air susu perempuan lain, maka hukumnya adalah hukum air susu yang dominan (lebih banyak), kerana pemanfaatan air susu yang tidak dominan tidak tampak bila dibandingkan dengan yang dominan.

Seperti yang telah dikenal bahwa penyusuan yang meragukan tidaklah menyebabkan pengharaman.

Al-Allamah Ibn Qudamah berkata dalam al-Mughni:

“Apabila timbul keraguan tentang adanya penyusuan, atau mengenai jumlah bilangan penyusuan yang mengharamkan, apakah sempurna ataukah tidak, maka tidak dapat menetapkan pengharaman, kerana pada asalnya tidak ada pengharaman. Kita tidak boleh menghilangkan sesuatu yang meyakinkan dengan sesuatu yang meragukan, sebagaimana halnya kalau terjadi keraguan tentang adanya talak dan bilangannya.” (Al-Mughni ma’a al-Syarh al-Kabir, juz 9, him. 194.)

Sedangkan di dalam kitab al-Ikhtiar yang merupakan salah satu kitab mazhab Hanafi, disebutkan:

“Seorang perempuan yang memasukkan puting susunya kedalam mulut seorang anak, sedangkan ia tidak tahu apakah air susunya masuk ke kerongkong ataukah tidak, maka yang demikian itu tidak mengharamkan pernikahan.

Demikian pula seorang anak perempuan yang disusui beberapa penduduk kampung, dan tidak diketahui siapa saja mereka itu, lalu ia dinikahi oleh salah seorang laki-laki penduduk kampong (desa) tersebut, maka pernikahannya itu diperbolehkan. Kerana kebolehan nikah merupakan hukum asal yang tidak dapat dihapuskan oleh sesuatu yang meragukan.

Dan bagi kaum wanita, janganlah mereka menyusui setiap anak kecuali kerana darurat. Jika mereka melakukannya, maka hendaklah mereka mengingatnya atau mencatatnya, sebagai sikap hati-hati.”( Al-Ikhtiar, Ibn Maudud al-Hanafi, juz 3, hlm. 120;dan lihat Syarah Fathul-Qadir, Ibn al-Hammam, juz 3, him.2-3.)

Tidaklah samar, bahwa apa yang terjadi dalam persoalan kita ini bukanlah penyusuan yang sebenarnya. Andaikata kita terima bahawa yang demikian sebagai penyusuan, maka hal itu adalah kerana darurat, sedangkan mengingatnya dan mencatatnya tidaklah memungkinkan, kerana bukan terhadap seseorang yang tertentu, melainkan telah bercampur dengan yang lain.

Arahan yang perlu dikukuhkan menurut pandangan saya dalam masalah penyusuan ini ialah mempersempit pengharaman seperti mempersempit jatuhnya talak, meskipun untuk melapangkan kedua masalah ini juga ada pendukungnya.

Menurut al-Qaradawi, beliau tidak menjumpai alasan untuk melarang diadakannya semacam “bank susu” selama bertujuan untuk mewujudkan maslahat syar’iyah yang muktabarah (dianggap kuat); dan untuk memenuhi keperluan yang wajib dipenuhi, dengan mengambil pendapat para fuqaha yang telah disebutkan di muka, serta dikuatkan dengan dalil-dalil yang di kemukakan di atas.

Kadang-kadang ada orang yang mengatakan, “Mengapa kita tidak mengambil sikap yang lebih hati-hati dan keluar dari perbedaan pendapat, padahal mengambil sikap hati-hati itu lebih terpelihara dan lebih jauh dari syubhat?”

Dalam hal ini, al-Qaradawi mengatakan bahawa apabila seseorang melakukan sesuatu untuk dirinya sendiri, maka tidak mengapalah ia mengambil mana yang lebih hati-hati dan lebih wara’ (lebih jauh dari syubhat), bahkan lebih dari itu boleh juga ia meninggalkan sesuatu yang tidak terlarang kerana khuatir terjatuh ke dalam sesuatu yang
terlarang.

Akan tetapi, apabila masalah itu bersangkut paut dengan masyarakat umum dan kemaslahatan umum, maka yang lebih utama bagi ahli fatwa ialah memberi kemudahan, bukan memberi kesulitan, tanpa melampaui nash yang teguh dan kaedah yang telah mantap.

Kerana itu, menjadikan pemerataan ujian sebagai upaya meringankan beban untuk menjaga keadaan masyarakat dan kerana kasihan kepada mereka. Jikalau kita bandingkan dengan masyarakat kita sekarang khususnya, maka masyarakat sekarang ini lebih memerlukan kemudahan dan kasih sayang.

Hanya saja yang perlu diingat disini, bahwa memberikan pengarahan dalam segala hal untuk mengambil yang lebih hati-hati tanpa mengambil mana yang lebih mudah, lebih lemah lembut, dan lebih adil, kadang-kadang membuat kita menjadikan hukum-hukum agama itu sebagai himpunan “kehati-hatian” dan jauh dari ruh kemudahan serta kelapangan yang menjadi tempatberpijaknya agama Islam ini. Dari Jabir r.a. bahwa Rasulullah saw. bersabda:

“Aku diutus dengan membawa agama yang lurus dan toleran. “(HR al-Kharaithi)

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya kamu diutus untuk memberikan kemudahan, tidak diutus untuk memberikan kesulitan.” (HR Tirmidzi)

Manhaj yang kami pilih dalam masalah-masalah in ialah pertengahan dan seimbang antara golongan yang memberat-beratkan dan yang melonggar-longgarkan:

“Dan demikian pula Kami jadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan …” (al-Baqarah: 143)

Pandangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili

Menurut Dr Wahbah al-Zuhayli dalam Fatawa Mua`sirah (Fatwa-fatwa Semasa), m/k 195, terbitan Dar al-Fikr mewujudkan institusi bank susu adalah tidak dibolehkan dari segi syarak kerana ianya mengandungi unsur-unsur kerosakan (mafsadah) dari segi percampuran keturunan secara tidak Syar`iy dan ketidatentuan ibu susuan sekalipun idea ini dikatakan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan terhadap bayi-bayi yang menghidapi penyakit-penyakit tertentu. Idea ini juga menerbitkan keraguan hukum antara keharusan dan pengharaman kerana seseorang itu boleh menjadi mahram melalui penyusuan (radha`) seperti mana menjadi mahram disebabkan keturunan (nasab).

Oleh itu Wahbah al-Zuhayli amat mendokong Penetapan (Qarar) 6 (2/6) Majlis Feqah Islami Antarabangsa yang menentang idea ini dan Majlis telah pun memberikan penyelesaian alternatif berhubung isu ini. Beliau amat tidak bersetuju terhadap pandangan Ibnu Hazm Az-Zahiri yang syaz (pelik) yang menyatakan bahawa meminum susu dengan perantaraan botol, gelas dan sebagainya tidak di anggap penyusuan (Radha`) Syar`iy. Dalam hal ini, perantaraan untuk meneguk susu tidak diambil kira kerana pada pandangan ulama muktabar, `illat (punca) hukum ini iaitu sampainya susu ke dalam perut bayi (walau dengan apa jua cara) sudahpun wujud.

Tegasnya meminum susu dari bank susu adalah tidak dibolehkan kerana ia membawa kepada percampuran nasab secara tidak syar`iy.

Penetapan (Qarar) no. 6 (2/6) tentang Bank Susu Oleh Majlis Fiqh Islami

Majlis Feqah Islami, melalui Badan Muktamar Islam yang diadakan di Jeddah pada tanggal 22 – 28 Disember 1985 bersamaan 10 – 16 Rabiul Akhir 1406;

Setelah penelitian terhadap isu Bank Susu berdasarkan disiplin ilmu Fikah dan perbincangan mendalam yang berlangsung dalam 2 sesi, Majlis Feqah Islami telah mendapati bahawa:

Pertama : Insititusi Bank Susu adalah merupakan ujian dan
eksperimen bangsa Barat. Namun institusi ini semakin
kurang mendapat perhatian kerana timbul anasir-anasir
negatif berdasarkan kajian dan tinjuan ilmiah.

Kedua : Seluruh umat Islam telah berijmak bahawa kesan dan
akibat penyusuan (rodho`) adalah sama seperti pertalian
keturunan dan darah (nasab). Sementelah pula Islam
datang dengan tujuan untuk menjaga kepentingan
keturunan (nasab) dan kewujudan Institusi Bank Susu
boleh menyebabkan percampuran keturunan secara tidak
Syar`iy dan menyebarkan keraguan.

Ketiga : Bayi-bayi yang kekurangan berat badan atau menghidapi
penyakit-penyakit tertentu (yang menjadikan susu badan
sebagai penawar) masih boleh dirawat melalui proses
penyusuan biasa sama ada daripada ibu kandung atau
penyusu upahan. Dari sudut ini, institusi Bank Susu
dilihat tidak relevan diwujudkan.

Atas sebab-sebab tersebut, penetapan (Qarar) Majlis adalah seperti berikut:

Menentang kewujudan Bank-bank Susu Ibu di seluruh negara Islam
Mengharamkan pengambilan susu dari bank tersebut. Wallahu a`lam.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, para ulamak telah bersepakat bahawa telah sabit anak susuan dengan hisapan mulut manakala melalui cara yang lain seperti melalui hidung juga dianggap sebagai anak susuan seperti pandangan Dr. Wahbah al-Zuhaili asalkan ia dengan lima kali hisapan atau suapan yang mengenyangkan. Sementara pengunaan bank susu diharuskan dengan beberapa syarat ini dipatuhi iaitu :

i. Hendaklah susu itu diberikan kepada anak-anak oleh seorang wanita sahaja dan tidak bercampur aduk agar tidak bercampur nasab apabila ia memberikan susu lebih dari lima kali yang mengenyangkan.
ii. Hedaklah pihak pengurusan bank susu itu mengeluarkan sijil “Ibu susuan” agar ia mengetahui ibu susuan dan saudara susuannya.

Sementara wanita yang tidak berkahwin lalu mengambil anak angkat dan dijadikan anak susuan. Maka ia juga tertakluk kepada kaedah dan hukum di atas.

Oleh
Mohd Rumaizuddin Ghazali
Kuala Lumpur
25 Mac 2007

Category: Ad-Deen Anak Susuan Breastfeeding

About admin

I am a wife to a great husband. I am a proud mother of two adorable sons. I am a full time working at home mom (WAHM). I am breastfeeding my 3 sons, a daughter and looking forward to breastfeed my next babies. I like to share my pregnancy, breastfeeding and parenting as well as travel experience cos every journey is unique. *-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-*-* bundle of joys, Hafiy, Fahry, Danny & Irene.

One thought on “Hukum Penyusuan dan Bank Susu Ibu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge