Saya telah menerima satu komen dari Saudara Ibn Mustakim dalam entry Cara Cepat Jadi Kaya, dan saya rasa ia satu perkara yang bagus untuk dibincangkan bersama2 pembaca My Super Kids yang lain.. bagi percambahan ilmu dan idea kita yang cetek nih.
Terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya apa yang saya bakal tulis ni tidak menepati kehendak ahli panel, hehehe 🙂
Pendapat saya yang tak seberapa ini:
Kita temui saranan utk menggunakan harta / mal kita. Tetapi boleh tak Mommy nyatakan anjuran untuk menyimpan harta atau membuat simpanan? saya tidak nampak saranan tersebut kecuali di dalam Surah At-Takasur.Betul kita perlu membuat perancangan seperti saranan Saidina Ali sepupu Nabi SAW. Namun perancangan kewangan hanya pada 3 benda:
Untuk tunai haji
Untuk bayar hutang
Untuk infaq di jalan Allah jika dikehendaki (ketika perang etc)Ini merupakan pendapat saya semata dan perlu kepada perbincangan lanjutan.
Seperti yang saya pernah tulis dalam entry Rezeki dari Allah Yang Secupak Takkan Jadi Segantang?, bila bercakap soal harta, perniagaan, wang simpanan, dan sebagainya, kebanyakan akan memberi feedback seperti yang telah saya nyatakan. Feedback yang saya maksudkan (bagi mereka yang tidak berkesempatan membaca entry tersebut) ialah : apabila kita mengumpul harta, ia adalah untuk kekayaan dan kemewahan kita, untuk menunjuk2, untuk bermegah2 dan sebagainya.
Mungkin kerana kisah2 mereka yang berharta dan dilalaikan dengan hartanya, menjadikan kita memiliki sindrom ‘takut untuk menjadi kaya’ dan ‘takut bila orang lain kaya’ kerana bimbang menjadi Qarun atau Firaun.
Dalam surah at-Taubah ayat 39 Allah berfirman “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tapi tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat azab seksa yang pedih”.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim “Harta benda yang tidak dikeluarkan zakatnya akan menjadi azab kepada pemiliknya”.
Bermakna tiada larangan menyimpan harta, provided ia adalah bertujuan untuk kemaslahatan ummah.
Malah Imam Abu Hanifah ketika meninggalnya meninggalkan perusahaan2 dan perniagaan besar2.
Memang, harta yang banyak, atau perjalanan dalam mengumpul harta itu boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan, kerana memang sudah dijadikan sifat manusia mudah dilalaikan, dan kecintaan terhadap harta itu sendiri boleh menjauhkan kita dengan Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 14 “Dijadikan indah kepada manusia, kecenderungan terhadap perkara2 yang diingini nafsu seperti perempuan2, anak2, harta benda dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang”. Lumrah apabila benda itu indah, ia boleh membutakan mata kita. Seorang ulama boleh tunduk di kaki seorang wanita. Seorang penggali kubur yang warak boleh kalah kepada mayat seorang wanita. Apa lagi harta itu termasuk dalam ranking ke-3, memang tidak sedikit godaannya.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda “Aku tidak takut pada kemiskinan yang menimpa umatku, namun aku takut kamu semua akan bersaing antara satu sama lain untuk melihat siapa yang lebih banyak hartanya”.
Dari hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW lebih risau sekiranya kita lalai apabila menjadi kaya. Mungkin niat awal nak jadi kaya untuk bantu orang, tapi akhirnya kita lupa diri, dalam nak bantu orang, kita jadi penindas orang pula. Niat awal nak beli kereta untuk ke masjid, bila Allah murahkan rezeki, dapat beli kereta, bukan ke masjid tapi ke pub sebelah masjid.
Mengikut sabda Baginda yang lain, sebahagian besar yang dibangkitkan pada hari kiamat sebagai pendosa ialah para peniaga. Ini kerana peniaga ialah mereka yang paling mudah untuk terjebak dalam penipuan, rasuah, penganiayaan, penindasan dan sebagainya.
“Kaum peniaga akan dibangkitkan pada hari akhirat dalam keadaan berdosa, kecuali mereka yang jujur, bertakwa dan dipercayai” (HR Tirmizi).
Namun begitu, tiada jaminan jika kita miskin, kita terlepas dari godaan serta dosa2. Kendatipun pada hari pembalasan, orang2 miskin lebih cepat masuk syurga berbanding orang kaya, kerana harta adalah salah satu perkara yang akan dihisab. Bila seseorang itu memiliki harta, masa yang diambil lebih lama untuk menghisab harta2nya, berbanding orang2 miskin.
“Orang2 miskin dapat masuk syurga 500 tahun lebih awal dari orang2 kaya” (HR Tirmizi).
Namun, harus kita ingat, yang masuk syurga itu bagaimana? Orang kaya yang macamana dan orang miskin yang macamana?
Salah faham di sini menyebabkan ramai antara kita yang takut untuk menjadi kaya kerana ‘lambat masuk syurga’. Kunci ke syurga ialah rahmat Allah, rahmat maksudnya kasih sayang. Allah memasukkan hamba2-Nya ke syurga dengan kasih sayangnya. Dengan bahasa mudah, orang yang Dia sayang. Siapa orang yang Dia sayang? Orang kaya yang sombong? Haruslah tidak. Orang miskin yang hidup tertekan dan sanggup menjadi pelabur pelacur? Pasti juga tidak.
Jadi kata kunci yang utama ialah takwa kita.
Doa Rasulullah “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari fitnah jahat yang berpunca dari harta, dan fitnah jahat yang berpunca dari kemiskinan” (HR Bukhari & Muslim).
Kaya atau miskin, kedua2nya adalah sarana ujian dari Allah untuk menguji ketakwaan dan keimanan kita.
“Kemegahan terhadap kekayaan adalah kehinaan terbesar pada hari kiamat, kecuali bagi orang2 yang memberikan hartanya ke kanan kiri dan dia memperolehinya secara halal (HR Ibnu Majjah).
Tentang simpanan dan tabungan, ia adalah sangat straight forward. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, Rasulullah SAW bersabda “Apabila kamu mempunyai wang 200 dirham yang telah cukup tempohnya (cukup haul satu tahun), diwajibkan zakat 5 dirham. Dan tidak diwajibkan zakat melainkan kamu mempunyai 20 dinar dan bila cukup haul diwajibkan zakat 0.5 dinar. Demikian jika nilainya bertambah dan tidak dikenakan zakat kecuali cukup tempoh genap setahun”
Bermakna Rasulullah menyarankan untuk menyimpan wang. Syarat wajib zakat ialah cukup nisbah dan cukup haul yakni satu tahun pusingannya. Apabila kita memegang wang selama setahun atau lebih, itu adalah wang simpanan.
Menyimpan atau menabung bagi menghadapi saat2 kecemasan, bukan perkara baru malah telah dipraktikkan di zaman Nabi Yusuf lagi.
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh- sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit,yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan” (Surah Yusuf : 47-48)
Walaupun ayat di atas menyebut tentang gandum, tapi ia boleh relate dengan wang simpanan, atau apa saja simpanan untuk kegunaan seperti yang tersebut. Menghadapi detik2 sulit atau kesuakaran, kalau tiada wang simpanan… saya rasa memang payah.
Kita boleh fikir secara logik perkara ini. Saya orang kampung, dalam kampung tu keluarga kami adalah antara keluarga yang ‘agak senang’, maknanya kami tak perlu nak berhutang sakan atau meminta2. Tapi ada keluarga yang tiada wang, apabila berlaku kecemasan terpaksa berkejar ke sana-sini untuk meminta bantuan. Apakah nasib yang menimpanya sekiranya tiada orang yang ‘available’ untuk membantu di saat2 kecemasan seperti itu.
Begitu juga mereka yang berhijrah dari desa ke kota tanpa sebarang wang simpanan. Mungkin ramai yang tak tahu bahawa di ibu kota terdapat beratus2 manusia yang tidak berumah dan berwang. Apakah itu yang kita nak tengok? Dan pula bila ada saudara kita dalam kesusahan, kita yang nak bantu pun teragak2, sebab apa yang kita ada pun cukup2 untuk kita dan keluarga.
Alangkah seronoknya jika seorang Muslim itu, apabila diminta bantuan dia boleh menghulurkan dengan senang hati, kerana dia sendiri sudah cukup dengan apa yang ada (sifat qanaah) dan dia berserah kepada Allah akan rezeki seterusnya (tawakkal).
Pokok pangkalnya, bukan berharta atau tidak, bukan ada wang simpanan atau tidak, tapi taqwa yang merapatkan hubungan kita dengan Allah. Orang kaya tanpa taqwa tidak teragak2 untuk melaburkan wangnya ke jalan maksiat, memberi rasuah, membina bangunan tinggi2 untuk kemegahan, sebaliknya orang kaya dengan taqwa tidak teragak2 untuk menginfakkan hartanya, bersedekah ikhlas kerana Allah, menambahkan usaha untuk membangunkan ummah… Begitu juga orang miskin tanpa taqwa, tidak akan teragak2 menggadai tubuh dan maruahnya demi sesuap nasi, melakukan kerja2 yang dilarang oleh Allah dan menyalahkan takdir yang menimpanya, sebaliknya orang miskin dengan taqwa berusaha memperbaiki taraf hidupnya, sentiasa beristighfar dan bertaubat serta bersyukur atas ujian yang menimpanya.
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami menambahkan nikmat kepadamu, sebaliknya jika kamu ingkari nikmat-Ku, sesungguhnyta azab-Ku amatlah pedih” (14 : 7)
“Dan sekali2 bukanlah harta dan bukan pula anak2 yang mendekatkan kamu kepada Kami walau sedikit pun, tetapi orang2 beriman yang mengerjakan amal soleh, mereka itulah yang mendapat balasan berlipat ganda disebabkan apa yang mereka kerjakan, dan mereka aman sentosa di tempat yang tinggi yakni syurga” (34:37)
Apa pun yang datang kepada kita adalah yang telah Allah takdirkan untuk kita. Takdirnya itu ialah, bila kita bekerja dan berusaha, maka kita akan perolehi kejayaan. Sunnah untuk kita bekerja dan berusaha, kerana para Nabi juga bekerja. Malah Saidina Umar pernah memarahi seorang pemuda yang asyik duduk di masjid dan enggan bekerja. (Perkara ini tidak boleh disamakan dengan ahli sufi seperti Abu Hurairah sebab itu dah masuk bab lain).
Jadi kita mestila berusaha ‘memanggil’ rezeki itu datang dengan cara yang betul dan menjauhi cara yang haram dan dilarang oleh Allah. Carilah rezeki di merata muka bumi, dengan cara yang telah ditetapkan Allah, dan gunakan ia untuk jalan Allah juga.
“Harta yang suci dan berkat adalah sesuatu yang terpuji bagi orang yang soleh” (HR al-Hakim)
“Makanlah dah minumlah dari rezeki yang diberikan Allah dan janganlah kami berkeliaran di muka bumi membuat kerosakan” (2:60)
Besar hati saya sekiranya pembaca hari ini dapat memberi input2 bernas tentang topik ini. Semoga kita semua dapat menjadi orang kaya yang bertaqwa dan membangun ummah yang lesu ini (termasuklah diri kita sendiri).
Leave a Reply