Jonah dan Johan baru berkenalan. Masing-masing dah berumur matang dan layak untuk berkahwin. Disebabkan masing-masing pun masih single, lalu kedua-keduanya pun meluahkan isi hati antara satu sama lain. Dua-dua pun OK cuma Jonah penyandang Ijazah Sarjana bekerja sebagai pensyarah manakala Johan mempunyai sijil dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Kata ibu Jonah “Mak tak mahu nanti2 ada masalah bila taraf pendidikan berbeza ni” tapi kata Jonah “Jangan mak risau, saya CINTAkan Abang Johan. Kami akan bahagia”.
Maka bernikahkah Jonah dan Johan. Dan mereka hidup bahagia hingga ke akhir hayat.
Sungguh macam cerita dalam Fairy Tales.
Fairy Tales dan cerita2 rakyat ni adalah antara kisah2 yang banyak merosak pemikiran kebanyakan wanita muda yang mahu berkahwin. Part ‘happily ever after’ dan ‘bahagia hingga ke akhir hayat’ sangatlah tak boleh blah. Hinggakan sampai ada yang sanggup makan nasi lemak dengan buah bidara…
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan
Elok la tu. Jadiler anak derhaka gitew~
Perkahwinan, bukanlah satu event yang menjadikan hidup seseorang itu sangat indah macam dalam kilang coklat Willy Wonka. Tidak. Perkahwinan bukan sekadar cinta semata-mata. Ia adalah perkongsian, kasih-sayang, komitmen, tanggungjawab, sinergi, tolak ansur dan sebagainya. Setiap pasangan yang berkahwin takkan terlepas dari menghadapi dugaan dan ujian sepanjang perkahwinan.
Kenapa saya kata cinta semata-mata tidak menjamin?
Kerana apa adanya cinta? Biasanya orang sebut ‘cinta pandang pertama’. Maknanya dari pandangan dah boleh lahirkan cinta. Sesungguhnya lah 90% penyumbang kepada cinta pandang pertama adalah rupa. Rupa yang cantik, jelita, kacak, lawa…
Beberapa kawan lelaki saya ada memberitahu “Biarlah kupilih yang cantik2. Perangai buruk boleh berubah tapi muka buruk dah tak boleh tukar”. See?
Kalaulah yang ada hanya cinta semata-mata, itulah yang dikejar. Hanya memuja pada objek yang dicintainya. Bila dia cinta kerana paras rupa.. bila pasangan dan berubah rupabentuk wajahnya, ada cinta lagikah?
Sebelum saya memberikan persetujuan untuk menikahi Abiy dulu, perkara pertama yang saya lihat ialah pembawaan agamanya. Kemudian, wawasannya. Di situ saya boleh nampak bahawa Abiy adalah seorang lelaki yang berwawasan, yang bercakap tentang masa depan, bukan mengungkit masa lalu dan masa sekarang sahaja. Dari Abiy saya belajar bahawa dalam perkahwinan, cinta jatuh nombor satu, tapi yang utama ialah hormat. Bila kita hormat pada pasangan kita, kita tak akan meletakkan dia di tempat yang tidak wajar, selain dari di hati dan ingatan kita selalu. Kita takkan tergamak nak membuat onar di belakang dia. Kenangkan perangai kita dengan ibu bapa yang kita cinta dan guru yang kita hormat.. kita lebih behave di depan guru itu, bukan?
Namun, tak semua yang bernikah/mahu bernikah sedar akan hakikat sebenar perkahwinan. Ramai yang membayangkan dunia perkahwinan penuh warna-warni tapi bila menghadapi dugaan di dalamnya.. terasa amat pedih dan perit sekali. Kenapa? Mungkin faktornya ada antara yang saya list kan di bawah ni..
1. Merasakan perkahwinan akan membahagiakanya
Bahagia itu adalah subjektif kepada individu. Ada orang kaya tapi tak bahagia. Bahagia tu adalah bagaimana kita bersyukur dan gembira dengan apa yang kita ada. Kalau dari awal lagi kita seorang yang bersikap negatif, melankolik dan pesimis, dan mengharapkan perkahwinan itu akan mengubah hidup kita menjadi gembira, itu memang silap.
Kita yang mesti memandu perkahwinan itu untuk menjadi perkahwinan yang gembira, bukan perkahwinan itu yang akan mengubah kita menjadi gembira.
2. Menganggap perkahwinan yang bahagia adalah menjadi dan memiliki pasangan romantis
Kalau kita tengok dalam cerita Hindustan pun, kalau cerita berkisar tentang keluarga… semasa bercinta romantik habis, tapi bila berkahwin macam2 jadi. Hidup kita ni tetap ada ups and downs. Mood romantis tu tak selalunya ada. Kadang2 semakin lama kita mengharung dunia perkahwinan, semaking banyak komitmen, semakin mencabar kehidupan, mood romantis itu semakin pudar kalau kita tak usaha nak menyemarakkannya kembali.
3. Merasakan bahawa pasangan sepatutnya memahami dirinya
Walaupun kita berkahwin dengan sepupu kita sekalipun (orang paling rapat dalam talian saudara yang halal berkahwin), dia takkan dapat baca fikiran kita.
Apatah lagi seorang lelaki, tak semua lelaki tu mempunyai perasaan empati yang tinggi. Kebanyakan mereka memerlukan si isteri yang berterus terang tentang perasaan mereka. Sebagai isteri kenalah selalu2 berbincang hati ke hati dengan suami, bukan menyindir2 beliau bila ada kehendak tak tercapai.
4. Menganggap suami sepatutnya melayannya seperti puteri raja
Bila saya bertanya kepada lelaki tentang perkahwinan, mereka rata2 akan menjawab “Nanti ada orang nak masakkan makanan, cuci baju, kemas rumah…” Never in my life jumpa lelaki yang kata “Nanti ku mahu berikan apa yang dia mahu, layan dia macam puteri, urut badannya, dokong dia selalu, bawanya pergi bercuti….” Ayat itu hanyalah ayat semasa lelaki nak ‘mengayat’ gadis semata-mata. Tak boleh blah kalau time nak mengayat tu, lautan api pun sanggup nak harung. Tapi kita orang pompuan jangan ler termakan 100% dengan kata2 ayat diorang nih. Yang sadisnya bila kita orang pompuan pun percaya dengan ayat-ayat mengayat mereka tu. Anggap aje itu cuma gurauan semata2.
5. Menganggap perkahwinan adalah penyelesai masalah
Sebelum kahwin pasangan ni dah selalu bergaduh sakan. Lalu mereka memutuskan untuk berkahwin agar tak lagi bergaduh-gaduh. Adakah dengan berkahwin automatik jadi tak bergaduh?
Semuanya perlukan usaha dari pasangan sendiri. Kalau tak ada yang nak berubah, kahwin la 2-3 kali pun, memang camtu je la kaedahnya.
6. Perkahwinan akan bahagia kerana saya cintakan dia
Kalau harapkan cinta semata-mata… kebanyakannya tak ke mana lah. Kebahagiaan tu kena diusahakan. Contohnya bila dah berkahwin dan ada anak. Anak pulak BF dan clingy. Si suami terasa hati sebab rasa isteri dah tak cintakan dia sebab sibuk uruskan anak. Bahagiakah macam ni?
7. Suami/Isteri akan berubah selepas berkahwin
Sebelum berkahwin, si lelaki panas baran. Lepas kahwin, boleh ke auto terus jadi seorang yang lebih tenang?
8. Merasakan kehidupan akan tetap sama seperti mula2 berkahwin
Pasangan baru berkahwin biasanya tengah excited. Mood honeymoon la katakan. Namun as time goes by, kita makin meniti usia. Anak makin ramai, kerja makin teruk… Gaya hidup pun mungkin berubah. Ramai pasangan yang hadapi tekanan dan memerlukan terapi stress. Jadi sebagai pasangan, masing2 perlulah usahakan untuk menjadikan perubahan yang berlaku dalam perkahwinan tidak ketara hingga sukar untuk dihadapi oleh salah satu dari pasangan tu.
Pendekata, semuanya bermula dari kita. Kita yang mencorakkan, merancang, memandu alam perkahwinan tersebut.
Ada suami yang bila anak dah ramai, isteri dah nampak kendur kulitnya, dia rasa boring dan nak cari yang lain, yang lebih bergetah. Konon kata ikut sunnah tapi isteri Nabi SAW kebanyakanannya janda, tak ada pulak yang sanggup kahwin dengan janda (kecuali janda berhias/janda kaya). Jadi kalau tak ada sinergi dalam perkahwinan, bila cinta dah pudar… jadilah macam-macam.
Saya kadang ‘takut’ juga bila orang kata “Abiy tu kacak, kalau awak tak cukup bercantik-cantik nanti tak risau ke dikebas orang”. Tapi bila mengenangkan perkahwinan kami bukan kerana rupa paras, insya-Allah tak ada apa yang nak ditakuti. Walau bagaimanapun, memang kita kena mencantikkan diri depan suami, tapi bukan kerana takut dia dikebas orang, tapi kerana tanggungjawab seorang isteri yang cinta dan hormat pada suaminya.
Macamana pun, kita kena selalu mendekatkan diri pada Allah, kerana hati-hati kita dan pasangan kita adalah dalam ‘tangan’-Nya.
Leave a Reply