Bila menyebut tentang Islam nak kita miskin atau kaya, biasanya ramai yang menolak perkara kedua. Ada banyak faktor yang menyebabkan ramai di kalangan kita yang takut untuk menjadi kaya. Salah satunya kerana mungkin takut menerima pembalasan seperti Qarun yang kufur atas nikmat hartanya yang banyak.
Apa perasaan anda bila melihat gambar macam di atas?
Saya biasa mendapat email yang dihantar oleh teman2.. tentang kemiskinan, kebuluran, kesusahan masyarakat di seluruh dunia. Biasanya terdapat komen-komen dari pengirim2 sebelumnya (email forward), seperti “Kita kena hidup sederhana, ingatlah orang tempat lain yang menderita”, “Bersyukurlah dengan apa yang kita ada”, “Usahlah kita kejar harta dunia, mereka ni apa pun tak ada” dan sebagainya. Betulkah sepatutnya begitu?
Di dalam Usul ‘Isyrin, (Usul 20) Imam Hassan al-Banna menyebutkan bahawa, dalam prinsip pertama, iaitu kesempurnaan Islam, antara ciri-ciri Islam ialah tsarwah (harta yang banyak), kasb (usaha mencari rezeki) dan ghina’ (kekayaan).
Menurut Iman Hassan, tsarwah tersebut adalah segala benda yang Allah cipta dan tundukkan bagi manusia untuk dimanfaatkan dan dimakmurkan, sekaligus menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah. Ghina adalah kekayaan yang menjadi lawan kepada kemiskinan.
Berbalik kepada gambar di atas, menurut Imam Hassan al-Banna lagi, umat Islam perlu jadi kaya untuk saling bantu-membantu sesama manusia. Di dalam Islam, perkara yang bersangkutan dengan usaha dan harta ni terlalu luas dan telah diterangkan satu persatu. Bukan semata-mata jadi kaya bina istana sahaja. Islam dah tetapkan dari bab pencarian harta dan cara untuk menggunakannya. Islam tak suruh cari harta sampai lupa Tuhan, lepas tu makan sorang-sorang.
Namun sifat semulajadi manusia memang cintakan harta, tamak, kedekut, dan sebagainya. Kerana itu diturunkan panduan untuk kita ikut dalam mencari dan menggunakan harta.
Islam menggariskan pengedaran harta yang harus kita semua ikut, supaya harta yang kita cari tak terkumpul dalam simpanan kita (dan kedai-kedai kegemaran kita je). Kerana itu Islam mewajbkan zakat, yang termasuk dalam 5 rukun Islam dan menggalakkan infak (sedekah dan sebagainya). Sebab itu umat Islam kena jadi kaya supaya kita dapat mengurangkan asnaf (penerima zakat) dan menjadi golongan pemberi zakat.
Dalam Islam, usaha ada 3 tahap:
- Wajib – untuk memenuhi keperluan diri dan tanggungannya, seperti beri makan, bayar hutang, hantar sekolah dan sebagaunya.
- Sunat – mencari yang lebih dari keperluan, iaitu sampai dia boleh tolong orang lain, buat kebajikan, etc.
- Boleh – mencari yang yang lebih dari itu, iaitu harta yang lebih banyak, pangkat yang tinggi, kehidupan yang nikmat tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, kehormatan diri, dan sebagainya.
Beberapa sabda Rasulullah SAW berkenaan usaha:
“Cukuplah seseorang itu dikatakan berdosa jika dia mengabaikan tanggungannya (membiarkan menderita)” (HR Abu Daud)
“Tiada seorang pun yang lebih baik daripada orang yang makan hasil usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud makan dari hasil penat lelahnya sendiri” (HR Bukhari)
Jadi Islam tu menggalakkan kita berusaha supaya kita dapat keluar dari kepompong kemiskinan, seterusnya dapat membantu orang lain. Dalam surah az-Zukhruf ayat 32 Allah berfirman:
“Apakah mereka yg membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan di antara mereka penghidupan mereka dengan kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian itu dapat menolong sebahagian yang lain. dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”.
Allah telah menjadikan manusia ni tak sama dalam soal rezeki. Macam dalam gambar di atas, ada orang yang hidup dalam keadaan miskin, daif, tak ada makanan.. dan itulah sebenarnya hikmah yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang lain, supaya dapat berusaha saling menolong golongan tersebut, bukan sama-sama hidup miskin macam mereka.
Oleh itu Islam lebih mengutamakan harta berada di kalangan orang Islam (Islam yang betul lah, bukan Islam celup2 atau ‘nama je Islam’), agar manfaatnya dapat disalurkan ke jalan yang betul, bukan bina kelab malam ke, rumah urut ke, atau pusat2 perjudian ke.
Sempena tahun baru Maal Hijrah 1432, marilah kita sama-sama memperbaharui minda dan azam kita.
Bila melihat gambar-gambar seperti di atas, katakan kepada diri “Aku mesti berusaha lebih gigih agar dapat mengelakkan ahli keluargaku dari kesusahan hidup, dan dapat membantu mereka-mereka ini”, bukan lagi merendahkan pemikiran dan berusaha sedang-sedang saja, orang lain ramai yang miskin dan derita… Syukur itu bukan bermakna kita kena berhenti berusaha atau cukup-cukuplah dengan apa yang ada, tak payah nak cari lebih2 lagi. Malah telah menjadi perbahasan di kalangan ulama sekian lama tentang ‘mana yang lebih baik? sabar dalam kesusahan atau syukur dalam kesenangan?’.Ramai ulama yang mengambil perkara yang kedua.
Kalau kita sama-sama miskin (atau cukup-cukup makan), siapa nak bantu mereka yang lebih miskin/susah?
Dipetik &diubahsuai dari Syarah Usul ‘Isyrin by Abdullah ibn Qaim
Pic from MuslimDaily & HuffingtonPost.
Leave a Reply