Lama sudah saya tak menulis tentang isu semasa. Bukan saja di blog, malah mikroblog (FaceBook) pun tiada update sangat. Termasuk kisah banjir di Kuantan dan sekitarnya kali ni.
Salah satu sebabnya ialah saya rasa agak malu dan segan. Pertama kerana saya tidak dapat berada di tempat kejadian untuk melihat dan merasai sendiri. Kedua saya banyak bergantung kepada berita-berita terkini yang 70% sudah lari dari hal sebenar di FaceBook dan WhatApps. Ketiga saya tidak ada tindakan lebih proaktif. Dan keempat mungkin takut niat terpesong, buat entry semata-mata nakkan SEO, maklumlah ketika berita masih hangat dan ramai yang mencari info tentangnya.
Kejadian banjir tahun ini, menurut laporan adalah yang terburuk melanda Kuantan. Rumah pakcik saya di Sungai Isap tenggelam hampir ke bumbung. Makcik di Kuantan, terperangkap di ‘pulau’, kawasan rumah yang tinggi tak dinaiki air, tapi kawasan keliling penuh dengan air. Anak cucu Shaklee saya di Kuantan dan Kemaman ramai yang dipindahkan.
Saya sebagai anak Kelantan, memang biasa dengan banjir. Rumah lama kami di kampung tak pernah tak kena banjir. Setiap tahun, kawasan rumah jadi swimming pool. Pernah beraya dalam air banjir. Tak mandi berhari-hari sebab banjir.
Tapi banjir masa tu banjir pesta. Di Kota Bharu, ramai turun ‘main air’. Siap ada yang buka gerai jual macam-macam. Banjir memang menyeronokkan terutama kanak-kanak. Dah tak ingat segala macam tahi yang bersebati dalam air berlumpur tu.
Namun, banjir yang melanda beberapa kawasan sekarang ni bukan lagi banjir pesta. Arus deras, air tinggi. Saya pernah melalui kawasan yang dilanda banjir besar di Kuala Krai pada tahun 2006, kesan air lumpur hingga hampir ke puncak pokok kelapa yang tinggi (bukan kelapa yang cenonet tu). Bayangkan saja rumah-rumah yang didiami dipenuhi air sampai ke bumbung.
Tahun ini saya kira, antara tragedi paling mendapat perhatian. Bukan dari kerajaan, tapi dari rakyat tempatan. Ramai kenalan saya yang turun padang secara individu atas dasar kemanusiaan tanpa memikirkan SIAPA yang dibantu. Memberi bantuan peribadi kepada orang yang tak dikenali, tanpa menunggu-nunggu lagi. Salah satu sebabnya mungkin kerana berita yang tidak enak didengar tentang mangsa banjir begitu viral di media sosial, dan kelihatan orang-orang yang diharapkan membela rakyat…. Err lebih saya tidak komen. Kalian lebih tahu.
Walau apa pun, sama-sama kita doakan keselamatan mangsa banjir. Dari segi fizikal, emosi dan rohani. Moga musibah memberi hikmah yang besar, bukan saja mereka tapi juga kita.
Leave a Reply