“Zu, macamana ni?”
“Cerita ni dah jadi viral bang” bisik Zulaikha.
Mat menghela nafas yang panjang. Tidak disangka kisahnya menjadi bualan satu Malaysia. Dan yang lebih penting, dia kini terpisah jauh dari anak dan isterinya. Masalahnya, dia tak tahu di mana mereka berada. Hatinya gusar, perasaan bersalah bersarang dari tadi, kini hatinya bertukar sedih dan celaru.
“Kenapa Zu tak halang dia?”
“Macamana Zu nak buat bang… Kak Mah mengamuk-ngamuk depan Zu, kang dia histeria kang, satu kerja pula Zu nak settlekan” ujar Zulaikha. “Lagipun, mana Zu tahu Kak Mah boleh bertindak macam ni.
Mat dan Zulaikha saling berpandangan.
“Kita kena cari Mah walau apa yang terjadi!”
Mat menghubungi ibu mentuanya kalau-kalau Mah dan anak-anak ada di sana. Tiada. Malah, Mah langsung tidak menghubungi ibu bapanya langsung.
Mat sama sekali tidak menyangka, isterinya yang naif, yang selalu tersenyum bila diusik, yang menangis meminta maaf bila dimarahinya, kini boleh bertindak di luar jangkaan. Dia menjangka Mah sekadar menangis dan memujuknya, rupa-rupanya… Mah bukan seperti yang dikenalinya selama ini. Apakah kelukaan di hati isterinya teramat parah hingga sanggup keluar rumah tanpa izin?
“Nutrition workshop mana yang dia pegi?” getus hati Mat. Telefon tangan Mah tidak dapat dihubungi sejak tadi. Surat merah jambu tulisan Mah yang diprint dari komputer ribanya dipegang erat.
“Zu, cubalah Zu tanya dengan kawan-kawan Zu… nutrition workshop tu di mana?” soal Mat.
Zulaikha mendengus kecil “Berapa kali Zu nak cakap dengan abang… mana ada nutrition workshop hari ni. Tak tahulah kalau dia ikuti workshop tempat lain”.
“Dah malam dah ni.. abang risau sangat-sangat ni. Perlu kita report polis ke?” gesa Mat.
“Abang nak report polis nak cakap apa? Isteri abang lari sebab dia dapat tahu abang ada hubungan sulit dengan Zu, macam tu?” Zulaikha kelihatan kurang senang.
“Habis nak buat macamana ni… Abang dah buntu” Mat menekup mukanya.
“Yang abang pegi mengaku macam tu dengan Kak Mah tu kenapa?”
“Zu jangan salahkan abang. Semuanya kerja kita bersama Zu”
Malam makin larut. Hati Mat kian gusar. Dia mengajak Zulaikha ke rumahnya.
“Jom pegi rumah abang. Mungkin kita boleh jumpa sesuatu petunjuk di situ” tanpa menunggu jawapan Zulaikha, Mat memecut kereta menuju ke highway ke arah kawasan perumahannya.
“Jangan kena tangkap khalwat sudah” ujar Zulaikha.
Suasana senyap hinggalah mereka tiba di rumah Mat. Rumahnya masih kosong. Tanpa berkata apa-apa Mat menyelongkar segenap inci rumahnya. Pakaian Mah dan anak-anak masih ada. Ternyata mereka lari sehelai sepinggang. Hatinya terasa bagai disayat bila melihat suasana rumah yang sunyi, tidak seperti kebiasaan yang riuh dengan gelagat Adan, Lili dan Nafisa.
Tanpa disedari airmata Mat menitik… “Adan… Lili… Nafisa… di mana kalian… Abah rindu…. Mah… di mana dirimu sayang.. baliklah Mah…”tanpa memperdulikan Zulaikha yang terpaku di depannya, Mat menangis semahunya.
“Semuanya salah Abang, Zu” tangis Mat.
“Zu pun salah juga, Abang. Kalaulah Zu tak ajak abang untuk melakukannya, pasti semua ni tak terjadi” giliran Zulaikha pula menangis penuh kesal. “Zu berdosa pada abang dan Kak Mah” ujar Zulaikha dalam esakan.
Tiba-tiba terdengar bunyi pintu diketuk bertalu-talu.
Mat tergamam. Pencegah maksiatkah? Tangisannya terhenti serta-merta. Hatinya bertukar berdebar memikirkan apakah yang bakal terjadi selepas ini. Terbayang anak dan isterinya sudah tidak mungkin kembali ke sisinya lagi.
“Abang, bukalah pintu” gesa Zulaikha. Dalam hatinya bertukar gusar, bimbang kalau-kalau ketukan itu dari pihak polis membawa perkhabaran buruk tentang Mah dan anak-anaknya.
Perlahan-lahan… Mat merapati pintu yang masih diketuk bertalu-talu. Kunci dipulas, dan daun pintu ditarik…
“SURPRISE!!!! HAPPY BIRTHDAY ABANG!!!”
Mat tergamam dan hampir pitam melihat isteri, anak-anak, ibu bapa, mentua, abang ipar, kakak ipar, adik ipar, sepupu sepapat, sahabat handai memenuhi perkarangan rumahnya.
Mah membawa anak-anaknya memeluk dan mencium ayah mereka.
“Selamat Hari Lahir abang… menjadi kan lakonan kami?” ujar Mah sambil memegang tangan suaminya yang masih terpaku.
“Bukan sepatutnya abang yang beri kejutan kepada Mah…?” Mat berkata dengan nada yang lemah, sambil memandang Zulaikha yang sedang ketawa terbahak-bahak.
“Yelah, masa abang Mat beritahu Zu nak buat plan bagi kejutan pada Kak Mah, Kak Mah lebih dulu dah contact Zu untuk minta idea nak beri kejutan pada abang. Pecah kepala Zu nak plot cerita ni tau” Zulaikha mengakui. “Zu pun, plotlah cerita yang boleh surprise-kan dua-dua, tengok siapa yang kena dulu. Nampaknya abang Mat yang kena kali ni” Zulaikha menerangkan sambil ketawa.
“Dengan Abah pun terpaksa berlakon bila Mat telefon tanya Mah kat mana” tiba-tiba bapa Mah mencelah.
“Tunggu apa lagi, mari kita makan!” jerit adik Mah pula, sambil membawa dulang berisi mihun goreng special resepi ibunya.
Mat dan Mah berpegangan tangan, sambil mendokong anak-anak mereka.
“Mah isteri terbaik untuk abang, terima kasih atas hadiah hari lahir yang Mah tinggalkan atas katil. Abang janji akan baca sampai habis” bisik Mat.
“Abang bacalah sampai habis, di mukasurat terakhir ada satu kunci ke hadiah hari lahir abang yang sebenar” bisik Mah pula.
“Ha? Kunci apa?”
“Abang tengoklah sendiri nanti. Berkat bisnes online yang Mah buat, dengan restu abang” bisik Mah dalam senyuman.
“Sebab tu abang tak kisah Mah simple saja di rumah, Abang tahu Mah sibuk nak tolong Abang. Maafkan abang kalau ada tulisan Abang yang melampau dalam surat tu.” bisik Mat sambil meletakkan anaknya, Nafisa ke atas kerusi kecilnya.
“Tak apelah abang, Mah faham. Dan Mah tahu abang merapu sebab kuku Mah tak kecut pun, rambut Mah ni siap Mah letak EO lagi. Mula-mula tu Mah pelik juga apa Abang merapu ni. Walaupun Mah ni surirumah, tapi hari-hari Mah buat zumba dengan anak-anak. Lepas Mah call Zulaikha, barulah dia explain, rupanya abang ada rancangan ya… tapi plan Mah lagi hebat kan?”
“Abang bertuah kerana ada Mah, yang sentiasa memahami abang. Sebab tu abang berani bergurau melampau”
“Insya-Allah, kunci kebahagiaan kita, saling memahami, mengasihi, menerima antara satu sama lain, kerana Allah Taala. Mah sayang abang kerana Allah, Mah tahu abang pun begitu”.
Mat mencium pelipis isterinya dan merangkul bahu Mah, sama-sama berjalan menuju ke meja makan di mana ahli keluarga dah mula menjamu selera.
“Oh ye bang, Mah minta maaf sebab typo dalam surat tadi tu. Mah ke Nissan Workshop, repair lampu kereta Mah tu kan dah lama tak menyala. Zulaikha yang PM Mah beritahu abang sangka Mah ke nutrition workshop.. rupanya kerana autocorrect di MS Word tu… Maaf sebab buat abang risau ye..”
*terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi inspirasi untuk menulis tentang kisah Mah dan Zulaikha ini.
Leave a Reply