Dalam entry semalam tentang penyusuan dan anak susuan, saya menerima komen dari Ida seperti di bawah:
Jawapannya, YA. Anak susuan iaitu anak B dan anak C tersebut adalah adik beradik susuan. Dan saya ingin kongsi sedikit huraian tentang masalah susuan dan mahram ni.
Mahram ialah mereka yang haram dinikahi. Mahram boleh jadi kerana keturunan (seperti ibu, ayah, adik, abang, akak, datuk), atau perkahwinan (seperti ibu mentua, bapa mentua, menantu), atau susuan (ibu susuan, ayah susuan, anak susuan, saudara susuan, anak saudara susuan).
Permasalahan mahram sebenarnya satu isu yang saya kira tidak berapa dititik-beratkan. Sedangkan dalam keluarga yang bukan susuan pun, masalah mahram ni tidak menjadi ‘common sense’, melainkan dalam keluarga nukleus sahaja.
Misalnya pernah terjadi (jadi kes mahkamah), seorang lelaki berkahwin dengan anak tirinya (selepas bercerai dengan ibunya). Mengikut hukum, seorang anak tiri haram dikahwini oleh bapa tiri yang sudah menyetubuhi ibunya. “…dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu sudah campuri…” (4:23). Kisahnya mereka berdua tak tahu bahawa mereka haram berkahwin.
Maka apabila mengambil anak susuan, apa lagi jika memiliki ramai anak susuan, seseorang atau keluarga itu patut mengambil berat soal mahram. Ini bagi mengelakkan kejadian ter-kahwin dengan mahram.
Hukum Mahram Antara Susuan (haram bernikah atas sebab susuan)
1. Haram bernikah dengan ibu/bapa susuan.
2. Haram bernikah dengan adik beradik susuan.
3. Haram bernikah dengan adik-beradik kepada ibu bapa susuan.
4. Haram bernikah dengan adik-beradik susuan yang berlainan ibu/bapa.
5. Haram bernikah dengan anak saudara susuan.
6. Haram bernikah dengan anak susuan lain kepada ibu susuan (seperti kes di atas) “…Dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara kamu yang sesusu…” (4:23)
7. Haram bernikah dengan mentua susuan.
Pendek kata, hubungan mahram kerana susuan ni menjadi sama seperti hubungan adik-beradik kandung, cuma ia tidak melibatkan hal-hal lain melainkan haram nikah.
Akan tetapi, ia hanya melibatkan anak yang disusukan itu, tidak termasuk adik-beradiknya yang lain (yang tidak menyusu dengan ibu susuannya), ibu bapanya dan keturunannya.
Bagi ibu yang mempunyai ramai anak susuan, maka adalah tanggungjawab yang besar memeliharan hubungan antara anak-anak susuannya, kerana antara mereka adalah hubungan adik-beradik susuan; sama seperti hubungan anak-anak susuannya dengan anak-anaknya.
Maka satu keberkatan yang besar dalam keluarga ibu susuan yang memiliki ramai anak susuan, kerana dia telah menggabungkan beberapa buah keluarga. Jadi, anak-anak ini haruslah dididik dengan memperkenalkan nasab keturunan susuan mereka, agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini di masa depan.
Sirah Rasulullah SAW telah menunjukkan tentang hubungan ini. Sebenarnya, Rasulullah SAW mempunyai 2 orang ibu susuan, dan ramai saudara susuan, kerana Halimatussaadiah ni kerjanya ialah mengambil upah menyusukan anak-anak orang kota Mekah, bukan Rasulullah seorang.
Adik-Beradik Susuan Rasulullah SAW
Sumber dari al-ahkam.net:
Tsuwaibah (ibu susuan yang pertama)
- Hamzah bin Abdul Mutallib ( disusui oleh Tsuwaibah dan Halimah )
- Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
Halimah Al-Saidiyyah (ibu susuan kedua)
- Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
- Abdullah bin Harith bin Abdul ‘Uzza
- Syaima’ binti Harith bin Abdul ‘Uzza
- ‘Aisyah binti Harith bin abdul ‘Uzza
Antara saudara susuan Rasulullah SAW yang lain dari Halimah adalah seperti berikut :
- Abdullah bin al-Harits
- Anisah binti al-Harits
- Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harits
- Hamzah bin Abdul Muthalib
Ruj :
1. Sejarah Umat Islam (Edisi Baru), Prof Dr Hamka, Pustaka Nasional Pte Ltd, Cetakan Pertama 1994.
2. Fiqh Al-Sirah 1, Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Muassasah ar-Risalah Beirut.
3. Kehidupan Para Sahabat Rasulullah saw, Muhamad Yusuf al-Kandahlawy, Pt Bina Ilmu, Cetakan Pertama 1982.
Perkara ini sudah ditunjuki dan dialami oleh Rasulullah SAW sendiri. Qudwah hasanah yang lengkap menjawab segala persoalan yang timbul
Walau bagaimanapun, dalam hal ni kita harus bersifat terbuka dan menerima perbezaan pendapat serta keputusan. Sedang hal menyusukan anak sendiri dengan susu ibu pun, yang terang2 ada dalam al-Quran; sering menjadi pertikaian dan perdebatan, inikan pula hal ibu-anak susuan.
Semoga Allah permudahkan segala urusan yang melibatkan susuan dan menyelamatkannya dari fitnah 🙂
Leave a Reply