Kerapkali kita dilanda masalah, dan mungkin membuatkan kita rasa macam-macam. Biasanya masalah yang melanda membuatkan kita jadi down, stress, apa lagi bila melihat orang-orang lain gembira dengan kehidupan mereka, maka dah tentu kitalah insan yang paling malang.
Namun, benarkah orang yang banyak masalah adalah orang yang gagal dalam kehidupannya?
Perhatikan firman Allah ini:
Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya (2:286)
Setiap orang dibebani dengan masalah-masalah dan tanggungjawab yang disanggupi. Bukan bermakna kita nyatakan “Ya, saya sanggup” tapi maknanya masalah-masalah itu padan dan layak dengan kita.
Orang yang kelihatan tiada masalah, bukanlah mereka bahagia tanpa masalah, kerana setiap orang pasti ada masalah tersendiri.
Bezanya, mereka yang kelihatan tidak bermasalah adalah mereka yang bijak mengendalikan masalahnya. Dan mereka yang percaya bahawa di sebalik setiap masalah adalah satu tarbiah dari Allah untuk menjadikan dirinya insan yang lebih baik.
Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Bahawa sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan (94:5-6)
Dua kali Allah menegaskan dalam surah as-Sharh atau surah al-Insyirah tentang itu.
Jadi pokok pangkalnya hendaklah kita kembali kepada yang pangkal yang ni pegangan terhadap ajaran agama.
Masalah yang datang bukanlah penghalang kejayaan masa depan kita, sebaliknya adalah satu tarbiah dan motivasi percuma dari Allah Taala. Sesuatu yang tidak ada di mana-mana sekolah atau universiti.
Keluar dari masalah, bukan dengan cara lari darinya, tapi dengan menyelesaikannya. Orang-orang yang berjaya ialah mereka yang berjaya menghadapi, mengatasi lantas menyelesaikan masalahnya.
Dan janganlah pula kita mengharapkan simpati apa lagi menyusahkan orang lain dengan masalah kita. Kita boleh minta tolong (memang patut, anjuran agama juga bergerak bersama-sama) namun jangan sampai terlalu mengharap bantuan atau simpati orang lain. Kita harus tabah meniti dan melawan masalah kita.
Jangan biarkan masalah mengatasi kita. Katakan kepada masalah ⇢ “Walau sebesar mana pun kamu wahai masalah, saya lebih besar dari kamu. Saya ada Allah”
Berbahagialah orang-orang yang banyak masalah. Allah sedang menyediakan hamba-hamba-Nya yang mantap! Jangan kita gagal dalam saringan ini.
Leave a Reply