Cara Mengawal Anak Degil dan Nakal Tanpa Stress

admin Avatar

“Kenapalah anak aku ni degil dan nakal. Kenapa anak aku tak macam anak dia ni dan dia tu, kecil-kecil dan pandai itu, pandai ini”

*Dialog di atas hanya rekaan.

Macamana nak kawal anak-anak yang asyik bertempik, melompat, bergaduh sesama sendiri, melawan cakap… dan sebagainya? Lebih-lebih lagi kalau ibunya adalah SAHM atau WAHM. Kalau FTWM, masa keluar bekerja tu boleh lah ‘lari’ sekejap dari suasana macam di gelanggang muai thai tu.

Emak yang jadi stress bila anak-anak asyik buat perangai. Di rumah, cara di rumah, di luar, cara di luar. Adakah cara nak atasi?

Pastilah ada.

ANAK ANAK MOMMY LYNA

Sebelum itu kita kena faham ini:-

PERTAMA, ingatlah bahawa anak-anak yang belum mumayiz (secara amnya di bawah umur 10 tahun) belum boleh membezakan yang baik dengan yang buruk, yang salah dengan yang betul. Mereka buat apa yang mereka nak buat, tanpa ada pertimbangan.

KEDUA, anak-anak yang lahir itu seumpama kain putih. Mereka bijak dan genius tapi mereka kosong. Kita yang kena beri imput kepada mereka.

KETIGA, kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak kita. Beri mereka input agar apabila mereka capai usia akil baligh nanti, mereka dan ada ilmu-ilmu untuk membuat pertimbangan, yang mana baik, yang mana buruk.

Kekurangan input yang diberi kepada anak-anak di usia sebelum mumayiz itu memberi kesan yang sangat besar kepada emosi mereka bila mereka dah besar. Tak boleh buat pertimbangan, buat ikut suka hati… semua tu adalah antara akibat kekurangan input semasa mereka kecil.

Kita sayangi anak-anak kita, lengkapkan mereka dengan perkara-perkara yang mereka perlukan untuk mereka gunakan bila mereka dan dewasa nanti.

Bila anak-anak kita dirasakan degil, nakal, tak dengar cakap, buat perangai… apa yang kita kena buat:-

1. Sentiasa ingatkan diri bahawa anak adalah anugerah, amanah dan ujian untuk kita. Ujian manusia ni berbeza-beza. Ada yang diberi ujian kesabaran, ada orang diberi ujian kesyukuran. Bila anak kita buat kita sedih, mungkin itu ujian kesabaran. Bila anak kita buat kita happy, mungki  itu ujian kesyukuran. Kembalikanlah semua tu kepada Allah SWT. Mengadulah kepada Allah. Doakan yang spesifik.

2. Amalkan solat-solat sunat terutama solat taubat dan zikir-zikir, terutama zikir Fatimah dan zikir Asmaulhusna; istighfar dan selawat. Bersihkan hati agar kita boleh nampak hikmah di sebalik amanah dan anugerah ini.

3. Doakan yang baik-baik untuk anak-anak. Jangan sesekali terlintas, apa lagi terucap “Anak saya degil” “Anak saya nakal” apa lagi kalau cakap pada anak-anak “Kamu ni degil” “Kamu ni nakal”… kata-kata ibu merupakan doa. Doakan yang baik-baik. Kalau nak marah pun, biasakan lidah untuk sebut “Anak bertuah” “Anak soleh” “Anak cemerlang” “Bakal ustaz” “Bakal angkawasan” ke apa-apa yang bagus2.

4. Pasangkan bacaan al-Quran atau alunan muzik yang menggetarkan frekuensi Alpha untuk memberi ketenangan kepada seisi rumah, terutama anak-anak yang aktif dan emak bapanya. (Antara al-Quran dan muzik, mana yang lebih baik? Menurut beberapa kajian yang dibuat, bacaan al-Quran memberi kesan yang lebih lama  kepada gelombang alpha dan theta dalam otak manusia).

5. Luangkan masa yang sibuk untuk bermain/beraktiviti dengan anak-anak. Anak-anak buat perangai biasanya sebab nakkan perhatian. Dedikasikan satu masa untuk mereka… 20 minit, 30 minit… hanya bersama mereka saja tanpa gangguan handphone, TV dan sebagainya.

6. Masakkan makanan untuk anak-anak… Sambil masak, sambil doakan mereka. Sambil juga pasangkan alunan al-Quran di dapur tempat kita masak tu.

7. Sentiasalah berasa gembira dan bahagia dengan gelagat anak-anak. Mereka adalah kanak-kanak, bukan orang dewasa. Sekejap je pun, lepas ni mereka dah besar, kita pun dah kehilangan momen ni.

8. Jangan pernah merasakan anak sebagai beban. Walau susah macamana pun, anak adalah anugerah Allah. Kita rasa mereka beban, nanti mereka dah dewasa, tak mustahil kalau mereka pun rasa kita pula beban buat mereka. Sadis sangat ni.

9. Jangan membanding-banding! Kenapa anak aku tak macam orang tu, anak aku tak macam orang ni…. Anak kita telah di-design oleh Allah, sesuai dengan kita. Anak orang tu pula sesuai dengan orang tu. Fokuslah kepada apa yang kita miliki ini. Sayangi, kasihi, perbaiki diri.

10.  Didik anak untuk berdisiplin, dengan memberi pesan yang baik setiap hari, dan menunjukkan contoh yang baik setiap masa. Mungkin kena beritahu perkara yang sama setiap hari, ya, beritahu lah. Anak kita bukan robot. Mereka juga adalah isu ‘attention span’ yang pendek. Ingatkan mereka setiap hari, jangan pandang itu sebagai isu besar.

Sabar dan mengadulah kepada Allah SWT. Ingatlah teladan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak, antaranya :-

i. Cucunda Baginda pernah memanjat belakang Baginda. Bukan masa bermain tapi masa sedang menjadi imam solat berjemaah. Ketika sedang sujud, belakang Baginda dipanjat Hassan dan Hussein. Baginda tak marah pun.

ii. Rasulullah meminta Anas bin Malik (masa tu umur 12 tahun) untuk melakukan sesuatu. Tapi Anas terlupa bila terjumpa kawan-kawannya, dia jadi leka bermain. Rasulullah datang dan tanya dia, dah buat ke belum.. Anas kata belum, dia terlupa. Rasulullah tak marah, sebaliknya suruh Anas segera melaksanakannya.

Jadi kita tak perlu nak rasa stress dengan anak-anak yang macam-macam perangai. Sebab itulah ilmu mendidik anak-anak dipanggil KEIBUPAAN, bahasa Inggeris, PARENTING. Bukan keanakan atau childing. Mengasuh anak ini sebenarnya mendidik kita sebagai ibu bapa.

Mari kita sama-sama berusaha menjadi ibu bapa yang lebih baik untuk generasi selepas ini.

#MakTakMarahAnak

Tagged in :

admin Avatar

7 responses to “Cara Mengawal Anak Degil dan Nakal Tanpa Stress”

  1. Muliani Avatar

    Trima kasih sbb berkongsi idea mnjaga anak anak kecil 🙂

  2. Raihanah Ahmad Avatar

    terima kasih atas perkongsian

  3. Azlina Muslim Avatar

    Terima kasih Mommy Lina sebab share tips. Memang sangat membantu 🙂

  4. […] Cara Mengawal Anak Degil dan Nakal Tanpa Stress […]

  5. […] Cara Mengawal Anak Degil dan Nakal Tanpa Stress […]

  6. Baby Magella Avatar
    Baby Magella

    Terima kasih…Saya dapat tambah ilmu.

  7. Ustaz fadzli Avatar

    Masyallah. Satu perkongsian yang amat berguna. Terima kasih saudari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge