Buruk sangka atau prasangka, mungkin kita tidak dapat lagi dari mempunyai perasaan sebegitu. Lagi-lagi atas perkara yang diragukan, perkara yang samar, dan perkara2 yang tidak jelas.
Tapi sedarkah kita bahawa terdapat buruk sangka atau prasangka yang menyekat potensi diri kita, malah menghalang kita dari mencapai kejayaan.
Secara umumnya buruk sangka ini terbahagi kepada dua:
- Buruk sangka terhadap diri sendiri
- Buruk sangka terhadap orang lain
Bagaimanakah buruk sangka terhadap diri sendiri?
Buruk sangka terhadap diri sendiri ialah menganggap diri sendiri sebagai tak bagus, takkan berjaya, tak pandai, tak cantik dan sebagainya. Menurut hukum tarikan (law of attraction), kita akan ‘menarik’ ke dalam diri kita berdasarkan apa tanggapan dan perasaan kita.
Biasanya orang yang mempunyai sangkaan buruk terhadap diri sendiri memiliki low self-esteem. Diri sendiri bukan saja tidak mencari peluang, malah menolak peluang-peluang yang datang. Kerana tidak percaya dan tidak yakin pada diri sendiri, potensi diri tidak dapat dicungkil.
Mereka yang memiliki perasan ini biasanya seorang yang reaktif, iaitu hanya menunggu sesuatu perkara berlaku kepadanya. Kerana dia tak yakin akan kemampuannya.
Buruk sangka terhadap orang lain
Tak salah kita nak berprasangka atau prejudis terhadap pihak lain. Ini adalah satu langkah yang bijak, kerana kita tak boleh semberono percayakan orang. Sikap prejudis membuatkan kita berhati-hati dan tidak mudah percaya pada orang. Maklumlah, zaman sekarang ni terlalu banyak penipu.
Namun, berlebih-lebihan dalam prasangka kadangkala menyekat potensi dan langkah kita menuju kejayaan. Misalnya bila ada orang berjaya dalam sesuatu organisasi, kita kata dia ada kabel. Kita yang tak ada kabel ni, sampai bila-bila pun takkan berjaya macam orang tu. Sedangkan orang itu sebenarnya tak kenal sesiapa pun dalam syarikat yang menaikkannya. Yang menjadikan beliau berjaya ialah usaha kerasnya selama ini.
Berburuk sangka terhadap niat baik seseorang juga boleh mengeruhkan keadaan. Misalnya seorang teman cuba memberi nasihat kepada kita, tapi kita pula merasakan beliau saja nak sakitkan hati atau dengkikan kita. Padahal teman itu ikhlas menegur. Bukankah itu sudah merosakkan sebuah persahabatan?
Perkara kecil boleh menjadi besar kerana bersangka buruk ini. Mungkin kita menolak jemputan seseorang kerana menyangka dia mahu mengenakan kita. Sedangkan beliau mahu memberi peluang baru kepada kita.
Bagaimana menjauhi prasangka agar potensi diri kita terserlah dan boleh maju ke depan
Terhadap diri sendiri
- Kenali diri, tahu keupayaan kita dan kelemahan kita.
- Merapatkan diri dengan Allah SWT agar diberi kekuatan dari-Nya.
- Sedar tentang tujuan sebenar kita dihantar ke dunia.
- Bajai diri dengan kata-kata dan pemikiran positif.
- Sentiasa berazam untuk mengubah sikap2 kita yang negatif dan berusaha mengubahnya.
Terhadap orang/pihak lain
- Jadikan Allah sebagai teman rapat agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dalam melakukan sesuatu perkara.
- Bersahabat dengan mereka yang positif dan berilmu.
- Lengkapkan diri dengan pengetahuan dan hal ehwal semasa agar kita sentiasa ‘alert’ dengan situasi yang berlaku.
- Sentiasa bersifat terbuka.
- Beri peluang untuk diri sendiri mempelajari sesuatu dan mengambil pengajaran.
Ayuhlah kita berbaik sangka, terutama terhadap diri sendiri. Kita adalah umat terbaik!
Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah [3:110]
Salam tahun baru 2011!
Leave a Reply