Antara dua darjat.. Oh sungguh cliche sekali.
Seorang teman yang lama tak berjumpa tiba2 menghantar sistem mesej singkat berbunyi “Kenapa Along selalu tulis tentang rumah di tengah bandar yang mahal2… Kami ni tak mampu, telan liur sajalah… Bukan berduit macam Along“. (amiin dalam hati moga diberi rezeki yang halal dan berkat).
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun saya dapat menangkap maksudnya. Memang benar, kita tidak dapat puaskan hati semua orang, dan saya di sini bukan untuk memuaskan hati sesiapa, sekadar berkongsi pengetahuan dan pengalaman sahaja.
Bukan berkecil hati, namun apabila menerima mesej sebegitu buat saya berfikir sejenak. Kadang kala kita ni (saya) mungkin terlalu ‘sombong’ dalam berbicara. Mungkin tidak fikiran perasaan orang lain yang menganggap saya adalah kawan mereka, yang sepatutnya berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Iya lah, paradigma yang berbeza mungkin, membuatkan saya fikir semua orang harus bersikap positif.
Saya juga pernah berada di posisi yang rendah. Tempat terakhir dalam kelas. Pelajar paling tak berapa pandai. Sekali saja berada dalam top 3 semasa di menengah rendah, kemudian terus ‘kong’. Hingga saya berasa segan untuk berkawan dengan rakan-rakan yang berada di kelas pertama. (Maaf, bukan kata teman yang dimuliakan tadi lebih rendah dari saya, cuma memberi contoh saja).
Tapi saya cuba menaik taraf pencapaian saya, sedikit demi sedikit. Bila kawan-kawan bercakap tentang bulan, saya yang masih di ranting pokok, berusaha untuk berada di bulan bersama mereka, bukan mengharapkan mereka turun ke atas pokok bersama saya. Akhirnya berjaya juga saya menjejakkan kaki ke tempat yang setaraf dengan mereka, menjawat jawatan profesional seperti mereka, dan akhirnya menjadi diri saya sekarang (yang masih banyak lagi perlu diperkuatkan).
Akan tetapi, paradigma itu adalah seperti cermin mata. Jika penuh berdebu, walaupun ada emas di depan, tetap tak nampak jelas. Jadi semakin meningkat usia, saya semakin belajar bahawa manusia ini walaupun hakikatnya sama, namun memang tetap berbeza. Kerana itu di dalam tingkatan pembinaan peribadi mengikut Islam (yang dipanggil tarbiah), ia mempunyai disiplin tertentu, bukan meletakkan semua orang dalam kumpulan yang sama. Justeru, sukar sebenarnya untuk meletakkan sempadan di alam siber ini, lebih2 lagi semua orang berkumpul dalam satu arena tanpa sebarang pengkhususan.
Teringat keluhan seorang ibu tentang penyusuan eksklusif, katanya “Mahal-mahal lah barang untuk menyusukan anak. Pam susu mahal, botol susu mahal, supplement pun mahal-mahal”. Simpati pun ada kepada beliau, dek kerana di dalam forum-forum dan blog-blog sering berbicara tentang pam susu Avent, Medela, malah Medela Freestyle yang begitu mahal, dan botol-botol susu yang kononnya tanpa BPA, membuatkan ibu ini merasakan sungguh tinggi kos untuk menyusukan seorang anak. Sedangkan itu cuma pilihan, kepada mereka yang berduit, maka eloklah menggunakan barang berjenama yang lebih mahal (dan lebih elok pada tanggapan sesetengah orang). Sedangkan kos untuk menyusukan anak sepatutnya lebih murah, kerana sebenarnya kaedah Marmet (memerah susu badan dengan menggunakan tangan) adalah lebih berkesan dari mana-mana pam (*sumber dari Jururunding Laktasi Hospital Miri), dan bekas PPE (seperti bekas dadih) adalah dibuat dari material yang tahan haba yang tidak terurai dalam suhu sederhana tinggi dan selamat untuk makanan dan susu badan (*sumber Jurutera Kimia PETRONAS Penapisan).
Akan tetapi, kebanyakan perkongsian yang menjurus kepada satu pihak sahaja, membuatkan satu pihak lagi merasakan mereka tidak mampu untuk melakukannya, tanpa mendapatkan informasi yang lebih untuk alternatif. Mungkin kerana ketiadaan sumber lain.
Sebenarnya, semua orang mahukan yang terbaik dalam hidup mereka. Namun kemampuan dan paradigma itu adalah sesuatu yang amat abstrak untuk kita tafsirkan.
Saya dan Abiy ada berbual tentang kereta Kia dan kereta Naza. Mengapa ramai orang Malaysia menggunakan kereta Naza berbanding Kia? Kerana mereka mahukan sesuatu yang sama kualiti dengan Kia, tapi lebih murah, regardless beberapa perkara yang perlu diabaikan.
Jadi, beberapa perkara kita perlu pertimbangkan agar dapat memenuhi keperluan dan kehendak semua pihak. Tidak semua orang mampu berfikir sejauh kita, dan tidak semua orang mampu memiliki apa yang kita mampu dapatkan sambil pejam mata saja.
Walau bagaimanapun, saya tetap akan menulis seperti cara saya. Kepada teman yang di atas tadi, saya katakan kepadanya “Tak mengapa kalau awak rasa tak boleh ‘catch up’. Saya pun bukan orang kaya, tapi saya cuba cipta impian. Awak cuba bina mimpi yang besar (dream big) supaya awak tak termasuk dalam golongan ‘ketam Melayu’ kalau awak dah mula nak melangkah ke depan nanti”.
Leave a Reply