Pagi semalam ayah saya memberitahu tentang pasukan Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Somalia terkena tembakan dan seorang anggota misi telah terkorban. Saya terus membuka TV, kebetulan siaran berita menyiarkan tentang berita serangan tersebut.
Petikan dari Utusan Online:
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang semalam waktu tempatan.
Manakala wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
“Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat,” katanya.
Sementara itu, wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat utu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi paru-parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.
Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.
Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.
Norazrina berkata, sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.
“Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya,” kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.
Dalam pada itu, Tan berkata, mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan esok.
Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi esok.
Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. – Bernama
PENGALAMAN AJI
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan.
Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.
Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.
“Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.
“Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.
Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan -Utusan
Pada ketika ini jenazah Allahyarham yang baru tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang diberi penghormatan terakhir di Masjid TUDM sebelum dibawa ke kediaman keluarganya. Dan akan dikebumikan tengah hari ini.
Walaupun tak mengenali Allahyarham tapi hati ini disayat pilu.. Tatkala kedatangan pasukan misi kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Somalia yang dilanda kebuluran…~ Ya wajar mereka digelar wira, terutama Allahyarham Noramfaizul yang telah sanggup menggadai nyawanya dalam misi di wilayah bergolak itu.
Al-Fatihah.
Leave a Reply