Persediaan menyambut kelahiran bayi ketiga ni rasanya tidaklah seghairah semasa menyambut bayi pertama, dan tidak pula tak bersedia langsung macam bayi kedua kami. Maklum saja Fahry al-Hazim dilahirkan 12 minggu lebih awal dari jangkaan, jadi apa pun tak sempat nak dibeli. Untuk bayi ketiga ini, yang dijangkakan mujahid juga (lelaki lah juga) kami pun tak ada buat banyak sangat persediaan. Dari segi barang-barang yang pakai-buang seperti barangan mandian, segala minyak, bedak semua tu haruslah disediakan yang baru. Manakala pakaian, katil bayi dan sebagainya itu boleh ambil dari barang tinggalan abang-abangnya yang masih elok.
Praktikal, ya, itulah kami. Selagi boleh digunakan, tak perlu digantikan dengan yang baru. Bayi bukan tahu sedih kalau tak dibelikan barangan baru 🙂
Berdasarkan pengalaman, antara barangan bayi yang perlu dibelikan dari jenis yang elok:
- Carseat atau kerusi bayi di dalam kereta. Kami pernah beli dari jenis yang murah (murah betul, tak tipu punya) tapi Fahry tak selesa berada di dalamnya, bila tukar ke jenama Anakku (elok sikitlah) barulah dia suka duduk di carseat-nya.
- Katil bayi. Kami membeli katil bayi yang tiada bucu tajam kerana dikhuatiri  boleh mencederakan anak kami.
- Barangan mandian dan yang digosok pada kulit seperti losen etc. Kulit bayi kita tidak tahu macamana, rasanya tak perlu nak buat eksperimen dengan barangan jenis murah giler sebab nak berjimat. Lebih baik tak pakai apa-apa langsung. Anak saya digosok dengan mandian dan losen organik semasa masih bayi dan bila dah besar sikit pakai sabun basuh pun tak apa (oh ini tipu). Losen pula boleh menyerap ke dalam kulit dan sel badannya, seeloknya cari yang kandungan bahan kimianya tidak terlalu tinggi.
- Lampin sama ada lampin pakai buang atau lampin kain. Kalau pakai lampin kain ibu kena belajar cara2 nak ‘jaga’ kerana kalau lambat ditukar, anak boleh naik ruam2 juga.
- Makanan. Oh ini tak apa. Susu ibu adalah percuma 😀
Barangan yang tak perlu nak fikir soal elok atau tidak, err murah atau mahal kot (barangan wear and tear):
- Pakaian. Kami menyediakan pakaian yang limited saja kerana hadiah kawan-kawan kebanyakkannya adalah pakaian. Jadi buat apa nak membazir kan 😉 Lagi2 untuk anak ke-2, ke-3 dan seterusnya, guna semula pakaian bayi sebelumnya.
- Barang mainan atau alat stimulasi. Asalkan jangan beli yang mempunyai komponen kecil kerana bimbang mudah tercabut dan senang si kecil masukkan ke dalam mulut. Alat stimulasi seperti flashcard boleh buat sendiri saja.
Barang berjenama yang tidak terkenal, tidak semestinya tak bagus. Tak perlu nak keluarkan duit yang banyak untuk menyambut kelahiran bayi, sedangkan barangan dengan kualiti yang sama boleh diperolehi dengan harga murah. Contohnya seperti botol susu, terdapat botol susu yang harganya hampir RM100 sebiji, dan selling point adalah seperti BPA-free dan sebagainya. Botol susu murah pun ada yang BPA-free. Sama seperti barangan berjenama lain, jenama mahal dan harga mahal bukanlah vital sekiranya kita mahu memberikan anak yang terbaik. Botol yang mahal pun perlu ditukar mengikut frekuensi yang disarankan (Avent menyarankan 6 bulan sekali, AVA menyarakankan 4-6 bulan sekali), tapi kalau dah sebiji RM100, mau tak pakai sampai anak umur 2-3 tahun kan? Kecuali mungkin botol kaca tak perlu ditukar2 dengan kerap kerana kaca tak seperti plastik. Kesimpulannya berbalik kepada kemampuan masing-masing.
Begitu juga dengan pam susu, bagi mereka yang dimudahkan dan disenangkan, mudahlah untuk bercakap tentang Freestyle lah, Avent UNO lah, Mamivac lah dan sebagainya. Tapi bagi mereka yang kurang berkemampuan, bukan jenama2 itu yang menentukan berjaya atau tidaknya usaha untuk menyusukan anak. Ada ibu yang pakai Freestyle tapi tak boleh nak menyusukan pun. Perkara yang paling penting ialah belajar dan penuhkan dada dengan ilmu penyusuan, bukan kumpul duit dari awal nak beli Freestyle tapi akhirnya ‘tak ada susu’ sebab tak ingat nak belajar (sekadar contoh).
Ingatlah Porsche itu dibuat untuk orang kaya-kaya dan orang sederhana macam saya memadai dengan Perodua. Itupun kena hutang juga LOL.
Hm, mungkin cara kami terlalu simple. Sebenarnya banyak benda yang perlu disenaraikan untuk menyambut kelahiran bayi ni, bukan sekadar barangan dia yang dia pun tak kisah kalau tak ada. Antara perkara yang perlu adalah:
- Persediaan untuk belanja bersalin dan di dalam pantang.
- Persediaan untuk kenduri akikah.
- Persediaan untuk mengahadapi saat2 kecemasan misalnya anak sakit, atau ibu yang sakit.
- Persediaan untuk simpanan masa depan anak.
- Persediaan untuk perkara-perkara berbangkit.
Sambutlah kelahiran bayi dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab. Sekurang-kuranya buat anak kami. Dia bukan anak raja (anak kami) yang perlu diagung-agungkan dengan benda2 yang tak perlu. Dia perlu dididik dari kecil dan pendidikan kedua yang bakal diterimanya ialah BERJIMAT-CERMAT 😉
*entry ini cuma berkaitan dengan ekonomi bukan dari segi spiritual, adat mahupun perkara2 lain.
Leave a Reply