Sekiranya korang disahkan menghidap kanser yang memerlukan rawatan kimoterapi, pada masa yang sama korang disahkan mengandung, apa korang akan buat?
Teruskan kandungan walaupun nyawa korang mungkin tergugat akibat tidak menerima rawatan, ATAU, gugurkan kandungan, teruskan rawatan dan bina keluarga baru setelah sembuh dari kanser?
Mungkin mendengar/bercakap/menulis tak semudah mengalaminya. Tidak dinafikan perasaan kasih seorang ibu sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan anak tersayang. Memang ibu sanggup mati untuk anak. Malah kalau anak sakit, ibu berharap agar kesakitan anak tu beralih padanya.
Tapi adakah korang sanggup betul-betul mati demi memberi nyawa kepada anak? Yakin ke kalau korang tak ada, anak yang ditinggal tu mendapat sebuah ‘kehidupan?’. Sedangkan semasa ibu masih ada, anak2 yang ditinggal sekejap dengan pengasuh pun boleh diperlakukan sesuka hati… dan ada yang menemui ajal begitu… bagaimana pula bila ibu tak ada?
Dan siapakah yang nak memberinya susu badan, serta kasih sayang seorang ibu?
Walau bagaimanapun, ye lah.. macam saya kata tadi, kita tak mengalaminya.. mungkin boleh cakap “Saya sanggup kehilangan anak saya untuk menjalani rawatan, kemudian bila dah sembuh kita bina keluarga baru”. Tapi yang mengalaminya, mungkin lain pula pemikirannya.
Seperti yang terjadi kepada beberapa kenalan adik saya, yang sanggup berkorban nyawa (tidak menjalani rawatan kanser), demi anak yang dikandung. Tapi sebenarnya, saya lebih sedih mengenangkan nasib bayi yang lahir itu. Tanpa ibu, di manakah dia nak dapatkan kasih sayang seorang ibu? Tidakkah ibunya terfikir akan nasib anak yang dilahirkan itu tanpa ibu?
Mungkin ibunya yakin tanpa rawatan, dia boleh bertahan dan menyambungnya selepas anak dilahirkan. Ataupun dia rasa jika dia korbankan anaknya, sekiranya dia juga tidak dapat diselamatkan, pengorbanan anaknya sia-sia. Atau mungkin beliau rasa kejam ‘mengorbankan’ anak untuk menyelamatkan nyawanya.
Apapun situasi ini memang emosi… kerana itu seseorang yang menghidap penyakit kronik seperti kanser memerlukan sokongan keluarga dengan begitu kuat sekali. Orang-orang yang survive dari kanser (yang saya kenali dan tahu) adalah mereka yang kuat semangat. Walaupun akhirnya mereka pergi kerana kanser, namun ‘puas hati’ dengan semangat yang mereka tunjukkan selama ni.
Saya selalu baca satu kisah di internet, saya pun tak pasti betul ke tidak. Katanya kalau mengikut orang Islam, jika berlaku situasi macam ni, ibu yang lebih utama untuk diselamatkan; dan sebaliknya jika ikut orang Kristian. Rasionalnya dalam Islam, ibu tersebut diselamatkan, dirawat dan nanti akan dapat anak lain pula. Anak yang ‘dikorbankan’ itu menjadi permata syurga. Manakala mengikut agama Kristian pula, anak yang lahir tanpa dibaptis akan masuk neraka, jadi anak itu yang akan diselamatkan dan dibaptiskan kelak.
Walau bagaimanapun, again, situasi sebegini dan keputusannya sangat abstrak lagi subjektif. Yang nyata, setiap kejadian adalah rahsia Allah SWT tentang hikmah dan akibatnya. Jadi bila nak buat sebarang keputusan, kita kembalilah kepada Allah. Semoga setiap sudut kehidupan kita mendapat keredhaan-Nya.
Leave a Reply