Ibu bekerja gagal mendidik anak-anak? Satu pandangan yang sangat skeptikal terhadap ibu bekerja. Mak saya ialah seorang wanita bekerja, dan masih lagi bekerja. Semasa saya kecil beliau bekerja 6 hari seminggu. Belum masuk shift malam. Namun saya rasa kenyataan ‘gagal mendidik anak-anak’ adalah terlalu kejam, kerana hari ini anak-anak ibu saya ada yang jadi jurutera, bakal doktor, bakal jururawat dan masih di bangku persekolahan. None of them yang terlibat dalam gejala rempit, dadah, buang bayi dan sebagainya. Alhamdulillah.
Mak saya yang satu lagi (mak mentua) juga seorang ibu bekerja yang sampai sekarang kerja 6 hari seminggu. Malam pun kadang2 kerja. Anak-anak beliau hari ini adalah seorang jurutera, ahli kajibumi dan bakal terbang ke luar negara.
Mungkin mak-mak saya gagal menjadikan anak-anak mereka seorang penyanyi terkenal seperti Siti Nurhaliza dan Mawi 🙂
Berbalik kepada tanggapan ibu bekerja gagal didik anak, saya rasa perkara ni sejak dulu lagi memang dah menjadi ‘masalah’. Ramai yang berpandangan sinis apabila ibu bekerja, tambah-tambah kerja yang sibuk, pasti gagal mendidik anak-anak. Malah dalam beberapa ‘kisah teladan’, digambarkan anak-anak dari ibu bekerja akan mengalami kekurangan kasih sayang, menyebabkan mereka menghadapi masalah dalam hidup, contohnya tekanan perasaan dan terlibat dalam gejala sosial.
Hakikatnya? Benarkan begitu?
Sepanjang saya hidup dan mengenali ibu bekerja, saya tidak pernah berjumpa kes-kes seperti itu, dalam kehidupan sebenar. Dalam novel memang banyak.
Apa yang saya jumpa tentang ibu bekerja:
- Semakin tinggi pendidikan seorang ibu, semakin sibuk pekerjaannya, semakin bijak beliau merancang masa depan anak-anak.
- Ibu yang sibuk bekerja, jarang atau tak ada yang ‘Bekerja untuk kepuasan diri sendiri’, sebaliknya demi keluarga dan anak-anak. Apa guna bekerja untuk anak-anak tapi tak didik anak dengan baik kan?
- Bekerja atau tidak, mindset seseorang itu tidak ditentukan oleh apa yang dia buat, tapi siapa dia sebenarnya. Kalau tak kerja pun, tapi hari2 kerja duk melangut tengok TV, mengumpat secara berjemaah dengan jiran2, jaja cerita orang lain sana sini…. berkesankan pendidikan terhadap anak-anaknya?
- Ibu bekerja biasanya terbiasa dengan rutin, perancangan, strategi dan jadual. Jadi mereka lebih bijak mengatur masa untuk kerja, diri sendiri dan keluarga.
- Taraf pendidikan, persekitaran, pergaulan dan pemikiran mempengaruhi juga. Mungkin ibu yang bekerja di sektor yang lebih rendah kedudukannya tidak mempunyai banyak pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan mendidik anak-anak, berbanding ibu-ibu profesional dan separa profesional yang lebih terdedah kepada ilmu-ilmu keibubapaan.
Namun tidak dinafikan, ramai juga ibu bekerja yang mengambil keputusan untuk menjadi SAHM (stay at home mum) setelah menyedari kualiti dan kuantiti masa serta keselamatan anak-anak lebih terjamin di bawha jagaan sendiri, berbanding dihantar ke rumah pengasuh, taska atau pembantu rumah sepanjang masa bekerja.
Walau bagaimanapun, ibu yang sibuk bekerja bukanlah alasan untuk gagal mendidik anak-anak. Memang ibu bekerja kurang masa bersama anak-anak dan kelaurga, tapi kualiti masa itu lebih penting. 10 minit yang berkualiti jauh lebih baik dari 20 jam yang tidak berkualiti.
Namun, disebabkan tanggapan ibu bekerja gagal mendidik anak ni, kebanyakan ibu bekerja menggunakan alasan bekerja bila tidak menggunakan masa berkualiti dengan anak-anak. Malah ada ibu bekerja yang tidak dapat menyusukan anak kerana ‘bekerja’ walhal kerjanya cuma separuh hari saja. Bukan salah ibu itu, tapi disebabkan tanggapan bahawa ‘ibu bekerja gagal didik anak dengan baik’ menyebabkan tertanam dalam hati sesetengah ibu bahawa bekerja adalah halangan untuk menjadi ibu yang baik.
Bekerja atau tidak, seorang ibu tetap seorang ibu, dan menjadi ibu yang baik adalah hak setiap ibu, bukan ibu yang tidak bekerja saja.
Ibu adalah insan terpilih yang terbaik untuk mendidik anak-anak dengan baik, regardless bekerja atau tidak, sekolah atau tidak. Ibu yang boleh mendekati dan mengasuh anak-anaknya dengan sentuhan yang tidak dapat diberi oleh orang lain.
Leave a Reply