Budaya menyalahkan orang/pihak lain, atau ‘blaming culture’, samada kita sedar atau tidak memang dah sebati dalam kehidupan kita, tak kira di peringkat mana-mana pun.
Menyalahkan orang lain adalah satu perkara yang paling mudah bagi menutup kekurangan/kesilapan diri.
Di peringkat bawahan, seringkali kita menyalahkan pimpinan atas setiap perkara yang berlaku, misalnya jika anak kita mengalami masalah dengan moral dan akhlak, kita salahkan sistem pendidikan. Jika anak kita tidak terpilih ke sekolah/universiti yang bagus, kita salahkan orang lain yang main kroni.
Bila hidup kita masih di takuk lama, kita salahkan kerajaan yang kian hari makin mendesak dengan minyak mahal, barang mahal. Bila di pejabat kita tak naik2 pangkat, kita salahkan orang lain kaki bodek atau bos yang suka pilih kasih.
Memang tak salah pun kalau kita nak salahkan orang, lebih2 lagi kalau orang itu memang betul2 bersalah. Tapi ada beberapa perkara yang kita perlu fikir dan pertimbangkan dalam hal menyalahkan orang.
1. Memikirkan tentang orang lain adalah membuang masa.
Terdapat satu riwayat menyatakan Lukman Hakim dan anaknya ke pasar, Lukman Hakim menaiki keldai manakala anaknya berjalan di belakang. Orang-orang yang memandang berkata “Sungguh tak bertimbangrasa orang tua itu. Anaknya disuruh berjalan sedangkan dia menaiki kaldai”.
Maka Lukman Hakim pun berjalan, dan anaknya pula yang menaiki keldai. Berkata pula orang-orang lainnya “Kurang adab betul budak itu, adakah patut bapanya yang tua itu berjalan sedangkan dia menaiki keldai?”
Maka Lukman Hakim dan anaknya sama-sama menunggang keldai itu. Namun masih ada juga orang mengata “Kejam sungguh mereka berdua ini, tergamak kedua-duanya menunggang keldai yang kecil itu”.
Akhirnya kedua-duanya sama-sama berjalan dengan keldai itu. Berkata pula orang-orang di pasar “Bodoh sungguh mereka ni, ada keldai tapi tidak ditunggang”.
Walaupun kisah ini memberi pengajaran bahawa “Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu”, ia juga boleh diibaratkan dengan memikirkan tentang orang lain. Tidak lain tidak bukan ia tidak membawa kita ke mana-mana. Sunnatullah, setiap orang akan mendapat laba dari apa yang diusahakan, jika kita hanya menyalahkan orang, orang berkenaan tidak rugi apa-apa, sebaliknya kita yang tidak berubah nasibnya.
Seperti Lukman Hakim yang ‘mengikut’ kata-kata orang, mereka yang penat naik turun keldai, akan tetapi orang2 lain itu tidak mengalami sebarang untung atau rugi. Jadi kita tidak perlu terlalu menyalahkan orang yakni memikirkan tentang orang yang menyusahkan kita, sebaliknya kita yang perlu berusaha untuk mengubah nasib kita sendiri.
2. Propaganda diri
Kadangkala apabila kita membuka peti televisyen, dan rancangan yang ditayangkan adalah sebuah program nyanyian lalai yang penuh dengan pembukaan aurat, kita dengan cepat memberi komentator “Inilah dia kerja kerajaan”, “Propaganda Yahudi!”, “Kerja orang nak sesatkan umat Islam”,
Memang benar, tapi kita ada kuasa untuk mengawal semua itu. Kuasa yang paling kuat ialah dengan tidak membuka sebarang rancangan televisyen.
Namun bila kita terlalu fokus kepada ‘apa yang orang buat pada kita’, kadangkala ia boleh menenggelamkan potensi diri kita yang sebenar, iaitu mengatasi perbuatan tersebut. Masalahnya kita pun hanyut sama.
3. Budaya si bangau
“Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?”
“Macamana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul”
Penundingan jari disebabkan di bangau kurus saja, akhirnya berterusan hinggalah kepada punca masalah iaitu ular yang nak makan katak. Akhirnya tiada siapa yang untung. Mungkin si ular saja yang untung sebab dia boleh baham saja si katak. Tapi disebakan semua pihak, terutama si bangau yang tak boleh fikir jauh sikit, bila ikan taknak timbul, tak ada rasa nak cara ikan di lubuk lain, atau di kawasan lain, sedangkan ia boleh terbang.
Mungkin disebabkan si bangau malas nak berusaha, malas nak cari, malas nak terbang, maka jalan pintas ialah salahkan ikan. Ikan pula salahkan rumput. Rumput salahkan kerbau…etc. etc.
Adakah kita masih membangau?
4. Lari dari tanggungjawab
“Siapa buat ni?”tanya seorang ibu kepada anaknya yang menangis.
“Amin terhantuk dinding ni..” jawab di anak dalam tangisan.
“OOoooo nakal ye dinding, mari Ibu babap dinding ni” ujar si ibu sambil membuat aksi memukul dinding.
Biasa kan?
Mungkin benda kecil saja. Ibu nak diamkan anak jadi cari objek lain untuk dimarahi. Itulah sebenarnya yang menjadi budaya kita sampai bila-bila. Sejak kecil ibu cari objek lain untuk dimarah bila anak menangis. Bila anak besar, dia pula cari objek lain untuk dipersalahkan bila hidupnya susah.
Secara tak langsung dia dapat lari dari menanggung dan menjawab. Bila ada benda tak kena, tunding jari kepada orang lain. Mudah kan.
Sedangkan semasa dia kecil dulu, kalau dia tak lari laju-laju, takkan terhantuk pada dinding. Sepatutnya ibu nasihatkan anaknya supaya berjalan dengan perlahan dan berhati-hati supaya tak terlanggar dinding lagi, bukan marahkan dinding. Dinding tak bersalah apa-apa, dan tak ada perasaan pun. Cuma sikap menyalahkan benda lain saja yang ditanam dalam diri anaknya.
5. Siapa yang memandu kehidupanmu?
Seorang lelaki berjalan seorang diri di hutan setelah terpisah dari kumpulannya setelah selesai menjalani perkhemahan di sebuah kawasan air terjun. Namun dia tidak terlalu panik kerana di tangannya ada peta dan kompas. Di dalam perjalanan, dia terlihat seorang lelaki yang sedang membawa gulungan rotan. Fikirnya itu mesti orang tempatan. Dia menegur dari jauh “Nak ke mana Bang?”. “Keluar ke jalan, peraih sedang menunggu!” jawab orang itu.
Di satu persimpangan, mengikut kompas dan petanya, jalan keluar adalah ke kiri, namun pencari rotan di hadapannya menghala ke kanan. Lelaki ini berfikir mesti orang ini tahu jalan pintas, lantas tanpa banyak soal dia terus mengikuti pencari rotan itu. Sehinggalah hari hampir petang namun mereka belum sampai-sampai lagi.
“Kenapa kau ikut aku?” soal si pencari rotan setelah menyedari lelaki itu asyik mengekorinya.
“Saya nak keluar ke jalan, saya ingat abang tahu jalan pintas” jawab lelaki itu.
“Aku sesatlah…” jawab si pencari rotan.
Bila kita tiada pendirian sendiri dan cuma mengikut orang sahaja, akhirnya merugikan diri kita juga. Tambah2 kalau kita tidak ada pengetahun langsung. Dalam dunia ini, semua orang ada masalah masing-masing, dan hampir tak ada orang yang sanggup nak tumpang masalah kita, melainkan dia memang kerja dalam bidang kebajikan atau sukarelawan.
6. Takkan mengubah nasib kita
“Aku dengar kilang air Yes tu ada lori babi masuk”
“Ayam Kepochi ni tak sembelih!”
“Makanan dalam tin ni ada lemak babi”
“Roti ni ada lemak babi”
Tapi kita masih juga menggunakan barang2 di atas, disebabkan tak ada alternatif, atau tak ada alternatif terdekat. Kalau tak ada orang antara kita yang mengusahakan sesuatu, sampai bila2 pun dialog2 itu akan terus kedengaran. Atau mungkin saja ia cuma propaganda untuk menjatuhkan jemana berkenaan, tapi masalahnya kalau itu pun, kita terus-terusan ‘ditipu’ oleh benda yang kita tak pasti.
Maka jadilah kita sampai bila-bila pun macam itu saja. Hanya menjadi komentator, pemberi komen, peng-iya, dan itu sajalah.
Jadi haruslah kita memandu hidup kita ke arah yang lebih baik, menganjak paradigma dan cara berfikir, bukan semata-mata mengikut keadaan semasa, akhirnya menjadi mangsa keadaan.
Leave a Reply