Bubur Lambuk Kg Baru Drive Thru di Masjid Wilayah

admin Avatar

Bubur lambuk Kampung Baru memang famous terutama bila masuk bulan puasa. Dulu saya pernah menyewa sekejap di Kampung Baru, tapi tak pernah merasa bubur lambuk yang dikatakan sangat unik itu. Maklumlah saya anak dara pemalu, segan nak pegi sana tak ada member 🙂

Bulan Ramadhan ni bubur lambuk resepi asli Kampung Baru boleh didapati di Masjid Wilayah Persekutuan yang terletak di Sri Hartamas. Drive thru lagi. Dalam 2-3 hari ni memang menyinggah ke Masjid Wilayah aje lah kerja kami.

bubur lambuk wasjid wilayah

Bunting bubur lambuk drive thru

Pengagihan bubur lambuk di Masjid Wilayah bermula jam 4 petang, tapi bila kami sampai pukul 5 lebih sikit tu biasanya dah habis 🙁 tapi kadang dapat juga akak tu beri. Mungkin kesian tengok saya hehe. Yang bestnya orang tak ramai, jadi tak adala berebut2. Jalan pun tak sesak sebab ada banyak laluan nak ke Masjid Wilayah.

masjid wilayah bubur lambuk

Dah habis dah bubur lambuknya….

Alhamdulillah dapat juga rasa bubur lambuk resepi Kampung Baru. Rasanya berbeza dengan bubur lambuk nenek saya yang sarat dengan isi ikan, daun kaduk, pucuk midin… Resepi berbeza kan. Macam bubur asyura di Kelantan pun tak sama dengan bubur asyura di tempat lain. Tapi memang sedap. Rasa cukup semuanya.

Hafiy paling suka dengan bubur lambuk. Bila kami ambil bubur lambuk di masjid, dia lah orang pertama yang “Mommy nak bubur”. Bubur lambuk panas-panas… bila masuk waktu berbuka tu memang sedang elok untuk dinikmati.

Alhamdulillah, rezeki lah merasa bubur lambuk tanpa perlu ke Pasar Ramadhan.

bubur lambuk masjid wilayah

Petang2 orang pergi bazar Ramadhan cari makanan, kita pegi masjid 🙂

Selepas berbuka, bersiap sekali lagi untuk ke Masjid Wilayah, untuk terawih pula 🙂

*Bilakah saya nak masak bubur lambuk resepi nenek pula? 😀

Bubur lambuk pandu lalu ni turut mendapat liputan dalam Utusan Malaysia 18 Ogos 2010.

Bubur lambuk pandu lalu dapat sambutan

SELAIN pandu lalu, orang ramai juga boleh mendapatkan bubur lambuk yang disediakan oleh Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengambilnya di tempat yang dikhaskan di masjid itu.

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kaedah pengambilan bubur lambuk secara pandu lalu anjuran Masjid Wilayah Persekutuan mendapat sambutan hangat orang ramai.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kebajikan dan Khidmat Sosial masjid tersebut, Fathiah Abdul Rahman berkata, pengagihan bubur dengan kaedah itu membolehkan orang ramai mendapatkan bubur lambuk dengan pantas dan mudah.

“Dengan kira-kira 40 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan masjid dan penduduk tempatan, kami bersama-sama menyediakan dan mengagihkan bubur ini kepada kenderaan-kenderaan yang berhenti di tepi jalan masjid,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Fathiah, sambutan orang ramai kepada bubur lambuk itu amat menggalakkan apabila kira-kira 4,000 bungkus bubur itu habis diagihkan dalam masa setengah jam.

Jelasnya, bubur tersebut disukai ramai kerana ramuan resipi tradisional Kampung Barunya yang asli.

“Bubur-bubur ini turut akan diagihkan kepada jemaah masjid itu bagi tujuan berbuka puasa dan jamuan selepas solat tarawih,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati dari seawal pukul 3.30 petang, ratusan penduduk dilihat sudah beratur di sepanjang jalan tersebut.

Sejam kemudian, apabila barisan penduduk itu berkurangan, deretan kenderaan pula mula menyusuli barisan tersebut bagi mendapatkan bubur itu.

Seorang penduduk, Nizam Mohd. Noor, 38, memuji kaedah pandu lalu ini yang berkesan menjimatkan masa orang ramai.

“Kaedah sebegini adalah sangat bersesuaian dengan cara hidup masyarakat kota yang selalu sibuk,” katanya.

Menurut Nizam, inilah kali pertama dia mengunjungi pengagihan bubur lambuk dengan kaedah itu.

Seorang kakitangan kerajaan, Syamsul Ghazali, 35, berkata, penganjuran aktiviti sebegini mempertingkatkan pahala di bulan Ramadan.

“Saya yakin, dengan penganjuran program seperti ini, umat Islam didedahkan dengan aktiviti amal jariah,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Mohd. Rusdi Abdullah, 30, pula menggemari keenakan bubur tersebut.

“Rasa bubur ini sememangnya lain daripada yang lain. Segalanya cukup rasa dan sangat memuaskan,” jelasnya.

Tapi ia cuma ada pada weekdays (hari bekerja) aje.. Weekend sekda la. Sila buat bubur lambuk sendiri.

admin Avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge