Perkataan ‘tasyrik’ dalam bahasa Arab maksudnya matahari terbit. Hari Tasyrik adalah hari-hari dari 11 hingga 13 Zulhijjah. Ia disebut di dalam Al-Quran sebagai ‘ayyamul ma’dudad’ iaitu hari-hari terbilang. Diperintahkan kepada kita agar memperbanyakkan mengingati Allah pada hari-hari Tasyrik ni.
Apakah Amalan Istimewa di Hari-Hari Tasyrik?
1- HARI MENIKMATI MAKANAN
Diharamkan untuk kita berpuasa pada Hari Raya dan Hari-Hari Tasyrik. Bermakna bermula 10, 11, 12 hingga 13 Zulhijjah adalah hari untuk makan-makan, menikmati makanan dan mengingati Allah melaluinya.
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Ingatilah Allah di setiap suapan yang kita nikmati. Jadikanlah makanan yang masuk ke mulut kita sebagai penguat tubuh untuk beribadat dan mengingati-Nya.
2. HARI MEMPERBANYAKKAN ZIKIR
Diperintahkan agar kita memperbanyakkan zikir, semoga menjadi permulaan hidup yang sentiasa berzikir pada Allah.
i – Zikir selepas solat Fardu
ii – Basmalah dan takbir semasa menyembelih korban. Tempoh penyembelihan haiwan korban berakhir pada 13 Zulhijjah mengikut Imam Syafie.
iii – Mengingati Allah ketika makan dan minum. Baca basmalah atau dia sebelum makan dan selepas makan.
Bagi yang berada di Tanah Suci,
iv – Berzikir dan takbir ketika melemlar jamrah.
Dan berzikir pada Allah secara mutlak. Ingatlah Allah setiap masa, jadikan hari-hari istimewa ini sebagai permulaan baru untuk sebuah kehidupan yang diredhai-Nya. Ingat Allah selalu, bukan hanya pada masa tertentu.
Banyakkan berdoa dengan doa yang diwariskan oleh Rasulullah ni:
كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِىِّ-صلى الله عليه وسلم- «اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Pohon kebaikan dunia (nikmat beribadat) dan kebaikan akhirat (syurga). Ameen.
Indahnya hari-hari Tasyrik, semoga kita dimudahkan untuk beramal soleh, dijauhkan dari maksiat dan sentiasa dimudahkan mendapat ilmu yang bermanfaat, dan juga semoga kita termasuk hamba Allah yang bersyukur atas segala nikmat.
Salam Aidil Adha, mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang sentiasa bertaubat, mensucikan diri dan disucikan sehinggalah kita menghadap-Nya dalam keadaan bersih dari dosa..
Semoga Hari Tasyrik membawa fajar baru.
Posted using BlogPress from my iPhone
Leave a Reply