Diksi Cintamu

admin Avatar

Fendi pulang ke rumah malam itu dalam keadaan serba-salah. Sudah berhari-hari dia memikirkan tentang hal ini, namun hatinya masih ragu-ragu. Setelah mendapatkan pandangan dari sahabatnya, akhirnya Fendi melakukan solat sunat Istikharah, dan setelah beberapa hari gerak hati tidak berubah, Fendi yakin, inilah keputusan terbaik.

Seperti kebiasaanya, isterinya, Fazrina dan dua anak mereka, Adam dan Irina sudah tidur setiap kali Fendi tiba di rumah. Dan seperti biasa Fendi akan mengejutkan isterinya yang sedang tidur di bilik anak-anak untuk bangun menemaninya makan tengah malam.

Seperti biasa Fazrina bangun, mencuci muka dan mengenakan sedikit haruman sebelum turun dan menyediakan makanan sementara Fendi membersihkan diri.

Tapi malam itu agak berbeza. Dari raut wajah Fendi, Fazrina dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena.

“Abang ada masalah ke? Dua tiga hari ni Rina nampak abang muram saja” Fazrina  cuba membuka bicara.

“Eh, ya kah? Rina perasan ya”

“Rina bukan kenal Abang sehari dua. Apa sebenarnya yang mengganggu Abang?” Fazrina cuba menduga.

Fendi mendengus kecil.

“Ya, memang Abang ada masalah. Kilang di Jepun yang Abang laburkan duit syarikat untuk keluarkan produk terbaru tu dah kena sita. Sekarang ni Abang tak tahu nak kata apa. Jatuh terduduk, dan mungkin terlungkup. Abang perlukan bantuan Rina!” ujar Fendi tanpa berselindung lagi.

“Apa saja Abang perlukan, Abang katakan…” kata Fazrina perlahan. Berita itu umpama kejutan buatnya. Sejak berkahwin dengan Fendi, seorang usahawan pakaian dan barangan sukan jenamanya sendiri, di situlah punca rezeki dan mata pencarian mereka. Fazrina sendiri tidak pernah bekerja sejak graduasinya dari sebuah universiti di luar negara.

“Abang minta.. untuk kali ni saja.. Abang minta… Rina cari kerja. Sekurang-kurangnya sehingga Abang dapat selesaikan segala-galanya” rayu Fendi.

Fazrina terkesima. Tidak pernah dia terfikir tentang hal itu. Di awal perkahwinan malah Fendi pernah bertegas bahawa dia tidak izinkan isterinya keluar bekerja.

“Abang tahu Rina boleh. Abang boleh usulkan Rina kepada kenalan-kenalan Abang. Datuk Shamsul sedang cari P.A., Rina pergilah interview esok ya” kata Fendi bersungguh-sungguh.

“Esok?” mata Fazrina terjengil. Melihatkan Fendi yang kelihatan sangat gelisah, akhirnya Fazrina bersetuju. Perbualan malam itu tamat di meja makan. Seterusnya, masing-masing mendiamkan diri melayan kerisauan di fikiran. Terutama sekali Fazrina. Dia samasekali tidak menyangkan suaminya sebegitu terdesak, sehinggakan sanggup mengorbankan prinsipnya, bahawa tempat isteri hanya di rumah.

Fazrina sangat kenal dengan Fendi, sejak dia memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual barang sukan 6 tahun lepas, Fendi seorang usahawan yang berdikari. Tidak pernah meminta pertolongan dari sesiapa, termasuk ibu bapanya. Seorang lelaki yang gigih berusaha dari bawah. Namun, masalah mulai timbul sejak Fendi mula melibatkan diri dalam bidang pembuatan dalam enam bulan kebelakangan ini. Dan mungkin ini kemuncaknya.

Keesokan harinya, Fazrina bersiap tidak seperti biasanya. Ternyata perasaan yang sangat janggal. Tidak pernah memiliki pakaian formal. Fendi menyarankan agar mengenakan baju kurung yang berwarna terang, agar tampak berkeyakinan.

“Abang percaya Rina boleh lakukannya. Selama ni Rina banyak tolong Abang, kali ni pun Rina pasti boleh tolong Abang” ucap Fendi sambil mencium dahi isterinya.

Selepas menghantar Fazrina ke syarikat pembinaan milik Datuk Shamsul, kenalan bapanya, Fendi pulang ke rumah, mengambil alih tugas menjaga dua permata hati mereka.

4 jam selepas itu Fendi menerima panggilan dari Fazrina, memintanya menjemput pulang ke rumah. Sepanjang jalan Fazrina hanya mendiamkan diri.

“Macamana interview tadi?” soal Fendi memecah kesunyian.

“Rina pun tak pastilah Abang, Rina tak ada pengalaman. Tapi tadi pun macam ramai fresh grad. Tak apalah, kalau ada rezeki, adalah” jawab Fazrina.

Seminggu berlalu tanpa sebarang berita. Fendi makin gundah. Ikutkan hati nak cuba merokok kalau-kalau boleh hilangkan stress, tapi memikirkan daripada bakar duit beli rokok, lebih baik berdoa di tikar sembahyang.

Akhirnya berita yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Fazrina diterima sebagai Pembantu Peribadi atau P.A. kepada Datuk Shamsul. Orang yang paling gembira tentulah Fendi. Terus dia melakukan sujud syukur bila Fazrina memberitahu tentang berita itu.

“Rina lakukan ni kerana Abang tau, walaupun Rina sebenarnya tak suka” ujar Fazrina.

“Terima kasih, Rina. Abang janji, ia hanya untuk sementara saja”

Bila isteri yang biasa tinggal di rumah menjaga kebajikan anak-anak sudah bekerja, timbullah persoalan baru – siapa nak jaga anak-anak? Dari awal Fendi tidak mahu anak-anakmya dijaga oleh orang asing, kerana itu jugalah dia tidak mengizinkan Fazrina bekerja dari awal lagi.

Nampaknya Fendi tak bersedia dengan perkara ini sebelum memutuskan agar Fazrina keluar bekerja. Masa yang ada cuma seminggu saja.

Buntu memikirkan. Nak minta dijaga nenek? Jauh sekali tidak. Nenek pun sibuk dengan aktiviti persatuan. Nursery? Tiada langsung dalam senarai. Pengasuh? Tidak kenal sebarang pengasuh di kawasan kejiranan mereka.

Akhirnya, Fazrina terfikirkan Nasuha, sepupunya yang baru menamatkan pengajiannya di Jordan. Nasuha kini sedang bercuti sementara menunggu panggilan kerja. Mungkin Nasuha boleh bantu. Melalui ibunya di kampung, Fazrina merisik khabar dan merayu-rayu agar Nasuha bersetuju untuk menjadi pengasuh anak-anaknya buat sementara. Nasuha yang tinggal di sebelah rumah ibunya di kampung, sejak kecil agak rapat dengan Fazrina.

Nasuha bersetuju untuk tinggal sementara di rumah Fazrina mengasuh Adam dan Irdina. Walaupun mereka tidak mengetahui sebab sebenar di sebalik keputusan Fazrina untuk keluar bekerja. Fazrina cuma memberitahu, bahawa sudah tiba masanya dia mengaplkasikan kemahiran yang dipelajarinya bertahun-tahun. Lagipun Irdina sudah 2 tahun lebih, sudah boleh bercerai susu badan.

Maka berangkatlah Nasuha ke Kuala Lumpur, mendiami rumah sepupunya yang sudah lama tidak bertemu. Banyak cerita yang dibualkan dan dikenang kembali. Fendi juga berasa sangat lega, sekurang-kurangnya Adam dan Irdina berada di bawah jagaan tangan yang dipercaya.

Nasuha, seorang gadis pemegang ijazah sarjana muda Usuluddin dalam bidang Al-Quran dan Hadis, tidak terlalu banyak bicaranya ketika Fendi ada di rumah. Mungkin kerana tidak biasa. Atau mungkin asuhan terhadap gadis manis itu yang menjauhkannya dari lelaki yang bukan mahram. Malah, kedatangannya juga bersyarat, jangan ditinggalkan berdua di rumah dengan Fendi, walaupun ada Adam dan Irdina bersama. Walaupun Fendi di tingkat atas, dia di tingkat bawah. Niatnya cuma mahu membantu Fazrina.

Walaupun melalui keadaan sangat janggal di hati masing-masing, namun segalanya berjalan seperti yang dirancang. Setiap pagi, Fendi akan keluar bersama Fazrina, meninggalkan Nasuha menjaga anak-anak mereka. Fendi pulang menghantar Fazrina setiap petang, dan akan kembali ke rumah seperti kebiasaanya, bila jam menunjukkan hampir tengah malam. Nasuha pula menjalankan tanggungjawab dengan baik, bukan saja menjaga dan memberi makanan berkhasiat, malah turut menjalankan aktiviti bersama anak-anak sepupunya itu.

Hubungan kekeluargaan antara mereka kian erat. Setiap hujung minggu, Fendi akan membawa keluarganya, termasuk Nasuha keluar. Berkelah, membeli-belah, balik kampung sekali-sekala. Sehingga Nasuha tidak berasa janggal lagi, dan terasa sebahagian dari ahli keluarga Fazrina.

Nasuha pula kian hari kian serasi dengan anak-anak buahnya. Malah, dia sudah mula memandu menghantar Adam dan Irina mengikuti playgroup di hujung minggu sekiranya Fazrina sibuk dengan tugasan.

*Apakah kesudahan kisah ini? Siapakah yang bakal mencetuskan konflik?

Tagged in :

admin Avatar

2 responses to “Diksi Cintamu”

  1. irfa Avatar

    CPT SMBUNG…

  2. Raihanah Ahmad Avatar

    wah dah jadi penulis cerpen pulak. hihih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge