Sana boikot, sini boikot. Yang paling popular sekarang adalah usaha memboikot produk Amerika, memandangkan hubungan luar biasa negara tersebut dengan Israel. Walaubagaimanapun usaha memboikot produk Amerika oleh sesetengah pihak tidak akan meletakkan FaceBook di dalam senarai boikot.
Antara alasannya,
1) FaceBook dilayar secara percuma
2) Sebagai senjata makan tuan
Saya ingin membongkar rahsia di sebalik PERCUMA-nya FaceBook, Google, YouTube, WhatsApps, BlogSpot dan sebagainya. Supaya saudara-saudari saya tidak lagi tertipu dan berasa bangga dengan kejahilan sendiri.
Mula-mula sekali, usah merasakan diri sebagai hero apabila dapat menggunakan media sosial dengan percuma untuk menyampaikan saranan boikot, malah menyamakan dengan ‘guna bilik air dan wifi di McDonalds secara percuma tanpa membeli produknya’. Tidak sama langsung. Tahukah anda, di sebalik PERCUMA itu, andalah penyumbang terbesar kepada Amerika! Kenapa saya kata penyumbang terbesar?
FaceBook dilayar secara percuma. Betul. Namun, percuma bukan bermakna tiada sumbangan di situ. Andalah penyumbang paling bermurah hati kerana tidak melibatkan sesen pun untuk menggunakan media sosial tersebut.
Keuntungan syarikat media sosial tidak diukur pada ‘berapa saya bayar’ tapi ‘berapa lama saya online’ dan ‘berapa orang yang berkomunikasi dengan saya’. Semakin lama anda online, semakin banyak post yang anda baca, semakin ramai kawan anda… Semakin banyak anda menyumbang kepada ekonomi Amerika. Tahukah anda FaceBook telah membeli WhatsApps dengan harga 19 bilion dolar? Tidak bodoh mereka nak beli benda yang tak menguntungkan dengan harga tak masuk akal.
Jadi bagaimana kita menyumbang kepada media sosial percuma ni? Saya bagi contoh, apabila anda membuka laman FaceBook di komputer, satu senarai iklan akan muncul di sidebar kanan antaramuka FaceBook anda tu. Setiap kali anda membukanya, setiap kali itu pengiklan di FaceBook akan dicaj oleh FaceBook. Semakin lama anda online, semakin banyak page yang anda layari, semakin banyak sumbangan anda kepada FaceBook.
Jangan suka sangat bila post anda jadi viral…
Analoginya, kalau anda kata ‘RM1 yang dibayar kepada McDonald’s adalah untuk membeli sebiji peluru’, dengan FaceBook seumpama anda benarkan mereka membuka kedai di rumah anda, menjual peluru untuk tembak rakyat Palestin, manakala anda sering menjemput rakan2 ke rumah, mengadakan jamuan, dan sebagainya.
Faham ke tak?
Fikirkan kalau kita benarkan orang tumpang jual peluru tembak Palestin di dalam rumah kita. Kita tak payah bayar dia apa-apa, dia pun tak bayar apa-apa. Sekadar tumpang jual peluru je.
Begitulah juga apabila anda gunakan Google, YouTube, Whatsapps dan media sosial yang lain.
Nak boikot atau pulaukan apa-apa, terpulang pada masing-masing. Tapi jangan ingat kita suci dan mulia, umpama marah orang lain mencuri tapi kita sendiri hidup senang disara orang yang kerjanya merompak juga.
Bila kita tiada pilihan, pilihlah untuk mengeluarkan kebaikan dari kemudaratan yang terpaksa dilakukan. Semua benda boleh dijadikan senjata makan tuan, yang penting benar-benar gunakannya dengan baik. Jangan pula bila senapang musuh jatuh ke tangan, kita tertembak diri sendiri pula.
– Posted using BlogPress from my iPhone
Leave a Reply