, , ,

Fahry di Usia 4 Tahun Setengah

admin Avatar

Alhamdulillah, meniti usia bersama anak-anak yang kian membesar.

Fahry, anak istimewa saya kini dah masuk usia 4 tahun setengah.

Fahry memang sangat istimewa di mata kami semua. Bukan kerana ke-tak-macam-orang-lain.. hmm tapi saya rasa Fahry memang tak macam orang lain.

Atau mungkin saya overrated. Tak apa lah kan. Kalau bukan ibu sendiri, siapa lagi nak overrated anak-anaknya 🙂 Memuji anak-anak adalah lebih baik dari merendah-rendahkan mereka, terutama di depan orang lain. Anak-anak kita, bukan milik mutlak kita atau umpama barang-barang kita yang boleh kita beri pelbagai remark ikut suka hati kita.

Anak-anak adalah amanah yang Allah titipkan untuk generasi selepas ini.

Anak-anak kita punya perasaan dan maruah. Oleh itu kita bukan saja harus menghormati mereka, malah sebagai ibu bapa yang dikatakan ‘masin mulut’, lebih-lebih lagi ibu… tidak patut kita merendah-rendahkan anak kita. Mengajar anak merendah diri bukan dengan merendahkan nilai diri mereka.

Fahry kadangkala membuatkan saya terfikir…

“Besar sungguh amanah ini. Kadang-kadang rasa saya tak layak menerimanya. Tapi Allah Maha Mengetahui segala yang dianugerahkan”.

Fahry seorang yang sangat petah, walaupun di depan orang yang tak dikenali dia cuma senyum-senyum saja, tapi di rumah mulutnya tak berhenti bercakap. Ada-ada saja yang nak diperkatakan.

Dia juga aktif. Walaupun kaki palsunya dah tak sepadan dengan ketinggiannya (kaki palsu baru masih belum siap), namun baginya, itulah kaki dia. Itulah kaki yang dibanggakan.

“Ini kaki Fahry. Fahry tak ada kaki lain, kaki Fahry yang ini” tegasnya.

Kadang-kadang dia buat cerita.

“Dulu Fahry kerja polis. Kaki Fahry kena ikat, kena potong. Lepas tu kena bom dengan orang jahat. Sebab tu Fahry tak ada kaki satu” rasa nak tergelak pun ada, nak menangis pun ada 😀

Fahry membuatkan kawan-kawannya merasakan diri mereka manusia pelik kerana ‘kaki tak boleh buka-buka macam Fahry’.

Danny dan Hafiy, memang tak pernah ejek Fahry, malah berasa cemburu kerana Fahry ada kelebihan tu. Malah Danny selalu mencuba-cuba ‘nak pakai kaki abang’.

Secara peribadi, kadangkala saya berasa amat-amat sedih, dan bersimpati, mungkin empati apabila ibu-ibu yang senasib dengan saya (mungkin saya lebih bertuah) meluahkan perasaan terhadap anak-anak istimewa mereka. Ya, hati ibu ini amat mudah terguris melihat keadaan anak-anak kami yang tak sesempurna orang lain.

Dulu saya selalu tersentuh hati bila melihat Fahry. Tapi… sesungguhnya saya tidak mahu Fahry menjadi seorang yang rapuh dalam menempuh perjalanan hidupnya. Walaupun mengalami kekurangan anggota dari kecil namun saya cuba buktikna pada Fahry bahawa dia tiada kekurangan apa-apa, malah kelebihan.

Minggu lalu, bila menghulurkan makanan kepada anak-anak, Hafiy dan Danny menyambutnya dengan tangan kiri. Saya mengingatkan “Tolong ambil dengan tangan kanan”. Tapi bila tiba giliran Fahry, dia berkata “Mami, Fahry ada satu tangan je… satu lagi tak ada” (Sila baca dengan nada gembira dan bangga!). Dengan bangga sekali memberi mesej kepada ibunya yang dia tetap akan ambil makanan dengan menggunakan tangan kanan ^^

Kadangkala dia mengira-ngira jarinya.. “Satu, dua… oh ada dua jari je tangan kiri. Tangan kanan ada lima”.

Kadang-kadang ‘menggunakan kesempatan’ untuk buat alasan “Fahry tak boleh buat… jari Fahry tak cukup…” (alasan semata-mata, jangan percaya!).

Pernah sekali atoknya nak marahkan dia kerana menggangu adik. “Tok Ayah pukullah kaki Fahry, pukul kaki yang ini ya (kaki palsu)”. Tergelak atoknya, tak jadi nak marah.

Alhamdulillah, kami mendapat sokongan dari guru-guru tadika dan pengasuh taskanya. Fahry tidak dilayan seperti anak istimewa. Layanan yang sama saja. Sebabnya… dia pernah naik lemak 😛 Dulu-dulu orang tolong, lama-lama dia pula yang mengarah orang ^^

Fahry (dan anak-anak lain) sesungguhnya hadiah dari Allah yang tak ternilai, buat saya. Memperbaiki diri dan menghadapi hidup ini dengan penuh keyakinan.

Terima kasih ya Allah.

admin Avatar

5 responses to “Fahry di Usia 4 Tahun Setengah”

  1. Raha Mohd Iskak Avatar

    Oh kak Lyna, Fahry mmg anugerah dr Allah. Saya masih tak lupa bila nampak dia menangis terharu tgk mommy dia atas pentas berucap di MasCel ari tu.

  2. mama meah Avatar

    betul..setuju..jgn rendah2 kan anak kita…fahry mmg cool…mmg karekter lebih kurang falah, masa dia tunjuk ular yg dia beli kt ikea kt cousin dia, boleh dia ckp ‘ tisha tgk ni, abam ada ular, jgn takut…dia tak gigit..dh mati pon..kena langgar lori’…suka mencipta cerita sendiri, kreatif sgt…
    btw..cpt lah balik..boleh kite qiamullai lagi..hahhaha

  3. mama adam Avatar

    Ya… fahry mmg seperti kanak-kanak normal yang lain =)

  4. Set Bersalin Shaklee Avatar

    huhu acik yang rasa sayu baca entry ni

    acik ni selalu lupa bahawa mommy kamu ada seorang anak istimewa

    sebab di mata acik Fahry sangat normal

    bila mommy tulis camni

    baru la acik tersedar

    baru la acik teringat dulu acik penah nangis di telepon sama2 dengan mommy fahry

    dan hari ni fahry membesar bagai juara

    alhamdulillah

    sungguh sayang acik tak nampak langsung kamu berbeza

    acik nampak kamu sama macam yang lain

    sehingga acik lupa kisah kamu dulu fahry sayang

    maafkan acik sebab terlupa tapi acik lupa bukan sebab acik tak ingat

    tapi sebab acik dah lama nampak fahry macam anak2 lain

    acik doakan yang terbaik buatmu fahry

    kamu beruntung punya mommy yang hebat

    tahniah sayang

  5. Aysha Avatar

    Fahry.. Fahry… auntie admire Fahry tau… Beruntung Mummy… =)

Leave a Reply to Set Bersalin Shaklee Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge