5 Sebab Kenapa Kita Kena Bayar Zakat

admin Avatar

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, mari kita semak sikit tentang zakat. Maklumlah, bulan ini kita semua diwajibkan untuk membayar zakat fitrah kan.

Zakat dari segi bahasa maksudnya mensucikan, subur, berkembang.

Banyak pengertian yang dikembangkan daripada perkataan di atas, misalnya, ia mensucikan harta, menyuburkan silaturrahim, dan mengembangkan punca rezeki.

Dari segi istilahnya, zakat adalah mengeluarkan harta mengikut syarat yang ditentukan oleh syarak dengan kadar tertentu kepada golongan tertentu (asnaf zakat).

Zakat ni kita boleh umpamakan macam proses kita mencantas pokok. Masa kecil saya di kampung, ayah dan mak saya selalu memangkas pokok-pokok buah-buahan dan bunga di sekitar tujuan. Bila kita potong dahan pokok-pokok ni, ia akan nampak gondol dan pelik. Tapi hasilnya, pokok-pokok ni akan jadi lebih subur, rimbun dan rendang.

Macam itulah bila kita berzakat. Kita keluarkan harta kita, tapi in return kita akan dapat lebih daripada apa yang kita keluarkan. Ia menyuburkan harta kita, menjadikannya lebih merimbun.

Hikmah zakat ni ada banyak, antaranya:-

  • Mensucikan harta benda kita
  • Meluaskan rezeki
  • Mengelakkan perasaan iri hati di kalangan mereka yang tak bernasib baik
  • Mewujudkan hubungan sesama insan melalui zakat
  • Memberi peluang golongan berada beribadah
  • Menyatukan umat Islam dalam hal ekonomi
  • dan banyak lagi.

Kita keluarkan zakat dari aset (zakat harta) yang kita miliki. 2.5% dari harta yang layak dizakatkan, yang dah cukup haul (genap setahun) dan nisab (kadar minimum harta yang layak dizakatkan –  bersamaan harga 85g emas).

Secara tidak langsung, ia memberi mesej bahawa:-

  • Umat Islam mesti ada harta yang banyak agar dapat dizakatkan
  • Kadar zakat adalah tetap (2.5%), jadi kalau nak berzakat banyak, kita mestilah menggandakan lagi harta yang kita ada.

Justeru, kenapa kita mesti berusaha menjadikan diri kita sebagai pembayar zakat, bukan rasa lega bila tak layak bayar zakat?

1. Untuk layak jadi pembayar zakat, kita mesti memiliki harta.

Ia menggalakkan kita untuk berusaha lebih tekun menambah pendapatan agar kita layak menjadi pembayar zakat. Semakin banyak kita nak berzakat, semakin tekun usaha kita. Dan semakin banyak kita berzakat, harta kita pun mudah mengalir masuk.

2. Pemberi zakat mendapat pertolongan dari Allah.

Dalam surah al-Hajj ayat 40 & 41, Allah berfirman:

“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.”

3. Pemberi zakat mendapat kasih sayang (rahmat) Allah.

Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 156:

” Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat.

4. Pemberi zakat hidup lebih tenang dan gembira

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 277:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman serta mengerjakan kebaikan, melakukan shalat, dan membayar zakat, mereka itu memperoleh ganjaran dari sisi Allah, mereka tiada akan takut dan tiada akan berduka cita.”

5. Zakat membuka pintu rezeki.

Setiap hari, 2 malaikat akan mendoakan sorang yang berzakat dan bersedekah agar Allah memberikan ganti kepadanya, dan satu lagi mendoakan agar Allah menghancurkan orang yang kedekut nak berzakat dan bersedekah.

Adakah zakat ini menyusahkan?

Tentunya tak bukan?

Malah ia nampak begitu mengujakan bukan?

Zakat adalah win-win situation. Baik kepada penerima, apatah lagi pemberi. Ingat analogi pangkas pokok di atas tadi, bila kita berzakat, harta kita jadi makin ‘cantik’, elok, dan makin bertambah. Bila rezeki makin bertambah, makin banyak kita boleh menyumbang kepada umat.

Yang menerima zakat juga boleh menggunakan wang tersebut untuk memulakan sesuatu usaha, mungkin satu hari mereka yang layak menerima zakat inilah pula yang mengeluarkan zakat harta mereka. Tidak mustahil bukan. Ia pernah terjadi di zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz di mana tiada yang layak menerima zakat, kerana penduduk negeri pada zaman itu terdiri dari orang berharta.

Mudah-mudahan pemimpin negara kita dapat mencontohi kepimpinan Umar Abdul Aziz. Berkat seluruh negeri, terhapus kemiskinan, tercapai tujuan ke arah kemiskinan sifar.

Tagged in :

admin Avatar

2 responses to “5 Sebab Kenapa Kita Kena Bayar Zakat”

  1. fatiha Avatar

    Info yang berguna…banyak hikmah zakat ni selain menyucikan harta…

  2. myliferia Avatar

    Besarnya hikmah berzakat. Menjadikan harta yang ada bertambah berkat dan buat kita rasa cukup. Takde ketirisan yang tidak perlu.

Leave a Reply to fatiha Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge